Manfaat Program Pembangunan Belia

Manfaat Program Pembangunan Belia

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui latihan semasa Program Pembangunan Belia bukan sahaja mampu untuk meningkatkan kemahiran supaya lebih kompetitif dalam pasaran kerja, tetapi ia juga memberikan kelebihan untuk meneroka peluang menceburi bidang keusahawanan. Harapan itu dikongsi oleh seorang pelatih baru Kursus Level 2 Award in 2D Computer Aided Design, Dayang Norshaqirah binti Halimas dalam wawancara ringkas bersama Media Permata, hari ini.

Bagi beliau, pilihan untuk memasuki dan mengikuti program berkenaan adalah disebabkan minat dalam bidang rekaan komputer dan seni bina bangunan kerana beliau percaya melalui latihan itu, ia akan dapat meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu pengetahuan serta memberikannya peluang untuk menerokai bidang kerjaya rekaan bangunan menggunakan perisian komputer.

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu nanti akan mampu memberikannya keyakinan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang rekaan atau menceburi bidang keusahawanan.

Dayang Norshaqirah merupakan salah seorang daripada 177 orang pelatih yang terpilih untuk mengikuti 10 kursus yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB) bagi kemasukan Sesi Januari 2016.

Dayang Nurshaqirah bersama keluarganya.
Dayang Nurshaqirah bersama keluarganya.
Ak Muhammad Adl-Arif Asyraf bergambar bersama bapanya ketika di temu bual oleh media.
Ak Muhammad Adl-Arif Asyraf bergambar bersama bapanya ketika di temu bual oleh media.

Mengulas mengenai pendorong untuk dirinya memasuki program latihan itu, Dayang Norshaqirah berkata bahawa ibu bapanya banyak memberikan sokongan kepadanya untuk memilih mengikuti latihan berkenaan kerana minatnya yang mendalam dalam bidang rekaan serta peluang untuk menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan yang amat berguna bagi kerjaya masa depannya.

Harapan untuk menimba ilmu dan mendalami kemahiran itu turut dikongsi oleh seorang lagi pelatih, Awangku Muhammad Adl-Arif Asyraf bin Pengiran Haji Bahar yang mengikuti Sijil Kecekapan Kemahiran dalam Basic Plumbing. Menurut Awangku Muhammad Adl-Arif Asyraf, beliau mempunyai pengetahuan asas mengenai bidang plumbing dan kerja-kerja membaiki paip di rumah, dan berharap latihan selama enam bulan dan penempatan kerja selama enam bulan akan memberikannya kemahiran untuk menceburi bidang kerjaya itu.

Beliau percaya latihan yang diberikan mampu untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan, dan beliau berharap untuk membuka perusahaannya sendiri dalam bidang berkenaan pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA