Manfaat secara optimum prasarana sukan

Manfaat secara optimum prasarana sukan

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) – Sabah merupakan antara negeri mempunyai kemudahan dan prasarana sukan terbaik di Malaysia selain memiliki keindahan alam semula jadi yang boleh dieksploitasi sebagai pusat kegiatan sukan ekstrem.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata kelebihan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik lebih ramai ahli sukan dari luar negeri untuk menjadikan Sabah sebagai lokasi penganjuran sukan.

“Ini sekali gus dapat memperkukuh lagi hubungan serta semangat persahabatan melalui sukan dan secara tidak langsung merancakkan lagi industri pelancongan di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo dan Laman Web Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-14 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Hashim Paijan.

Datuk Raymond Tan Shu Kiah. – Bernama
Datuk Raymond Tan Shu Kiah. – Bernama

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), Pengiran Saifuddin Pg. Tahir berkata Sedco sekali lagi diberi tanggungjawab menganjurkan kejohanan sukan itu yang dijadual berlangsung tiga hari mulai 23 hingga 26 Mac, tahun depan.

Pengiran Saifuddin berkata ini merupakan kali kedua Sedco diberi amanah untuk menganjurkan kejohanan sukan tersebut selepas kali pertama pada 2002.

Beliau berkata kejohanan sukan kali ke-14 ini bakal menyaksikan kehadiran 14 kontinjen dari seluruh negara dengan pelbagai acara sukan dipertandingkan termasuk golf, bola jaring dan boling.

Kejohanan Sukan Gemaputera merupakan kejohanan dwita-hunan anjuran Gabungan Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan Awam, yang anggotanya terdiri daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut layari laman web www.gemaputera.sedco.com.my.