Manfaatkan bonus

Manfaatkan bonus

Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Suasana di ibu negara terutamanya di bank-bank utama dan pusat membeli-belah kembali sesak hari ini, apabila kakitangan awam dan swasta mula menerima gaji dan bonus tahunan mereka setelah setahun bekerja keras.

Pembayaran bonus ini bertepatan dengan persiapan untuk kembali ke sekolah, yang mana kedai-kedai mula membuat potongan harga istimewa sempena jualan akhir tahun.

Ini termasuklah mereka yang menyertai jualan besar-besaran, Brunei Salebration 2015 yang sedang diadakan sehingga 8 Februari 2016 nanti.

Pada kesempatan inilah, para ibu bapa dan orang ramai yang menerima wang bonus mereka berbelanja bagi membeli keperluan barangan sekolah anak-anak mereka yang akan memulakan tahun persekolahan pada 4 Januari nanti dengan membeli pakaian, kasut, peralatan sekolah dan sebagainya.

Orang ramai membeli barangan keperluan dan pakaian sekolah di gedung membeli belah.
Orang ramai membeli barangan keperluan dan pakaian sekolah di gedung membeli belah.
Gambar atas dan bawah… Keadaan kedai buku yang dipenuhi dengan orang ramai bagi mencari keperluan barangan sekolah seperti buku-buku dan sebagainya.
Gambar atas dan bawah… Keadaan kedai buku yang dipenuhi dengan orang ramai bagi mencari keperluan barangan sekolah seperti buku-buku dan sebagainya.

pg04_151229_d

Keadaan orang ramai ketika mengambil gaji dan bonus tahunan mereka di ATM BIBD cawangan Sengkurong.
Keadaan orang ramai ketika mengambil gaji dan bonus tahunan mereka di ATM BIBD cawangan Sengkurong.
Ibu bapa sedang sibuk membeli pakaian sekolah anak-anak mereka.
Ibu bapa sedang sibuk membeli pakaian sekolah anak-anak mereka.
Salah seorang kanak-kanak ketika mencari keperluan buku mereka.
Salah seorang kanak-kanak ketika mencari keperluan buku mereka.

Manakala para peniaga pula tidak melepaskan peluang ini untuk menawarkan pelbagai tawaran istimewa bagi menarik pelanggan serta melariskan jualan mereka.

Tinjauan Media Permata hari ini, mendapati keadaan penuh sesak di bank-bank utama dan pusat membeli-belah utama di sekitar kawasan Gadong, Kiulap, Serusop, Batu Bersurat dan Berakas.

Jalan-jalan raya yang menuju ke pusat-pusat membeli-belah dan restoran turut penuh sesak dengan deretan kereta yang hendak keluar serta memasuki kawasan berkenaan.

Dalam keriangan dan keghairahan orang ramai yang menerima gaji dan bonus tahunan ini, Polis Diraja Brunei turut memberikan peringatan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM atau dari bank.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak meninggalkan kereta tanpa dikunci, tidak membiarkan enjin kereta hidup semasa meninggalkan kereta dan sentiasa berwaspada serta memastikan tidak ada orang yang mencurigakan ketika mengambil wang di mesin-mesin ATM.

Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila keluar membeli persediaan persekolahan anak-anak kerana dikhuatiri penyeluk saku akan mengambil kesempatan ini untuk mencuri ketika orang ramai sedang sibuk membeli-belah.

Mereka juga disarankan untuk tidak mengira wang ketika berjalan keluar dari kawasan mesin ATM kerana ini boleh memberi peluang kepada penjenayah untuk meragut.

Jika melihat seseorang yang mencurigakan di kawasan ATM, pusat membeli-belah dan kawasan letak kereta, orang ramai diseru untuk mengenal pasti pakaiannya, ketinggian serta bentuk badan orang itu supaya dapat dilaporkan ke balai-balai polis berdekatan atau menghubungi talian 993.

Dalam pada itu, sebilangan orang ramai yang ditemui rata-ratanya menasihatkan supaya berhemat dalam membelanjakan wang bonus.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana masih menerima gaji dan bonus yang baru saja dikeluarkan hari ini yang akan meringankan lagi bebanan bulanan yang ditanggung sepanjang tahun,” ujar salah seorang guru yang ditemui.

Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Bob berkata, beliau mempunyai keluarga besar dan sentiasa menjadi masalah apabila tiba pada penghujung bulan, kerana segala-galanya tidak mencukupi, tambahan lagi hanya beliau sahaja yang bekerja.

“Dengan adanya bonus sebulan dan gaji, seperti biasa perancangan kewangan akan difikirkan untuk mencukupi perbelanjaan selama dua atau tiga bulan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengiran Hajah Hadijah pula sentiasa menasihatkan anak-anaknya untuk menggunakan wang bonus seelok-eloknya dan bagi beliau, moto kejayaan dalam pengurusan kewangan ‘Bayar Diri Anda Dulu’ yang bermaksud bayar dulu segala hutang yang ada.

Katanya, sebelum mendapat bonus, setiap individu sudah memikirkan pelbagai cara untuk membelanjakannya, mungkin ada yang ingin membeli kereta baru, mengubah suai rumah, membeli belah, pergi bercuti, beli barang keperluan anak dan sebagainya.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Awang Bakar yang merupakan anggota polis dengan berkata, “Langsaikan hutang terdahulu. Gunakan duit bonus untuk melangsaikan hutang sedia ada. Anda boleh melangsaikan jumlah hutang dengan membayar lebih banyak daripada kadar bayaran bulanan.

“Dengan melangsaikan atau mengurangkan tanggungan hutang, anda dapat mempercepatkan proses pembayaran, sekali gus menjadikan anda bebas daripada bebanan kewangan. Langsaikan dulu hutang yang mengenakan caj faedah tinggi seperti kad kredit,” tekan beliau.

Bagi Dayang Norjakustina, yang merupakan Pengurus Sarang Burung Walet Brunei pula, sebelum membelanjakan wang bonus, “kita ambil berkat dahulu, kita hadiahkan kepada kedua-dua ibu bapa kita, membuat rencana membuka tabung haji agar ia bermakna ‘Nawaitu’.

“Tabungkan untuk anak-anak kita, dan bagi isteri yang bergaji besar daripada suami, hendaklah sentiasa membantu suami dan suami dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan dalam perkara berkenaan, jangan kedekut atau terlalu boros ketika membelanjakan wang bonus kita,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA