Manfaatkan hubungan erat ASEAN-China

Manfaatkan hubungan erat ASEAN-China

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Hubungan erat ASEAN dan China harus dimanfaatkan sepenuhnya supaya dapat menjana hubungan dua hala yang bermanfaat bagi kedua-dua belah pihak yang tidak hanya terhad kepada membuka ruang bagi kerjasama tetapi menjana peluang perdagangan dan pembangunan yang sebenar.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong berkata, bagi Negara Brunei Darussalam, pertukaran pegawai dan hubungan perdagangan dengan China telah wujud sejak abad ke-6 lagi dan dengan penubuhan hubungan diplomatik pada 1991, hubungan di antara kedua-dua buah negara telah berkembang dengan pesat.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Perasmian Mesyuarat dan Seminar Lembaga Eksekutif CAIBA ke-5, yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali yang juga Ahli Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam berkata, sudah terdapat kehadiran syarikat besar China di Brunei selain daripada China Development Bank (CDB) seperti Hengyi Industries yang membantu menyokong aspirasi negara khususnya dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara daripada sektor minyak dan gas.

Di samping itu, katanya, terdapat juga sokongan di peringkat kerajaan ke kerajaan yang menyaksikan penandatanganan perjanjian bagi penubuhan Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi pada 2014.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyeru supaya hubungan di antara ASEAN dan China dimanfaatkan sepenuhnya.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali menyeru supaya hubungan di antara ASEAN dan China dimanfaatkan sepenuhnya.

Perjanjian itu dihasratkan untuk menjana lebih daripada $500 juta dalam perdagangan dan pelaburan di sektor penghasilan makanan dan pertanian di mana ia merangkumi Taman Perindustrian dan Pertanian China-Brunei termasuk Taman Halal Makanan, Farmaseutikal Cina Guangxi Yulin dan kerjasama dalam projek-projek industri penjagaan kesihatan Guangxi Hechi.

Hasil dari kerjasama di antara ASEAN dan China, pelbagai manfaat telah dapat diraih di mana dengan China pada masa ini mempunyai ekonomi kedua terbesar di dunia dan juga merupakan rakan perdagangan yang terbesar bagi ASEAN. Oleh itu, adalah amat bijak bagi ASEAN untuk meneroka dan mengembangkan lagi hubungan itu terutama dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN tidak lama lagi, ujar beliau.

Mengulas mengenai dengan penubuhan CAIBA, beliau berkata penubuhan persatuan itu dihasratkan untuk menjana sebuah rantau ekonomi yang berdaya saing dengan pembangunan ekonomi yang pesat serta berintegrasi penuh dengan ekonomi global.

Beliau juga mengambil maklum mengenai usaha dan kerjasama yang dilaksanakan oleh setiap ahli persatuan di mana CAIBA mampu menjadi suara bagi bank-bank serantau serta mengembangkan lagi keupayaan bank-bank dalam sektor kewangan.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali berkata bahawa BIBD merupakan satu-satunya bank Islam sepenuhnya dalam CAIBA dan berharap BIBD akan membantu CAIBA mengembangkan lagi peranan sebagai pemudahcara bagi negara-negara bukan Islam untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai keupayaan kewangan Islam dan kumpulan dana serantau.

Usaha itu, katanya lagi, akan membantu untuk membangunkan dan melibatkan perkembangan kewangan Islam bagi manfaat semua pihak.

ARTIKEL YANG SAMA