Manfaatkan il...

Manfaatkan ilmu kejurulatihan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Sepanjang NFABD ditubuhkan, NFABD telah berjaya menghasilkan jurulatih-jurulatih tempatan iaitu tujuh orang jurulatih Lesen A, 15 orang jurulatih Lesen B, 84 orang jurulatih Lesen C dan 11 orang jurulatih penjaga gol Tahap 1.

“Walaupun bilangan jurulatih tempatan itu boleh dibanggakan, ia tidak akan bermakna jika kejurulatihan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh jurulatih yang memiliki sijil kejurulatihan berkenaan dan pasukan yang ada di dalam liga bola sepak tempatan seperti Liga DST, Liga Bawah 16 Tahun, Liga Veteran, Skim Bola Sepak dan yang seumpamanya.”

Dari rekod dan pemantauan NFABD setakat ini, seramai 21 jurulatih terlibat dalam Liga DST, tiga jurulatih bersama Pasukan DPMM FC, seorang jurulatih terlibat membimbing Kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN dan 28 jurulatih terlibat dalam Liga B-16 dan B-18, kata Penolong Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Beliau berucap sedemikian pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Kejurulatihan Lesen B AFC di NFABD House baru-baru ini. Kursus yang telah bermula pada 27 Februari 2017 itu telah disertai seramai lapan orang jurulatih tempatan dan seorang jurulatih dari Nigeria.

Di sepanjang kursus, mereka telah menduduki tiga ujian amali dan dua ujian teori, yang merangkumi pelbagai modul sains sukan seperti kecergasan fizikal, sistem otot dan tenaga, dan psikologi sukan yang dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Perubatan Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Para peserta Kursus Kejurulatihan Lesen B AFC 2017 bersama Pengiran Mohd Amirrizal (duduk tengah) serta EXCO dan pegawai NFABD.
Para peserta Kursus Kejurulatihan Lesen B AFC 2017 bersama Pengiran Mohd Amirrizal (duduk tengah) serta EXCO dan pegawai NFABD.

Kursus yang dimudahcara oleh Instruktor AFC, Mike Wong dan Stephen Ng itu merupakan kesinambungan kepada Kursus Kejurulatihan Lesen C AFC.

Majlis tersebut turut menyaksikan Pengiran Mohd Amirrizal menyempurnakan penyampaian sijil kepada 31 orang jurulatih yang mengikuti kursus kejurulatihan AFC tahun lalu.

Mereka terdiri daripada 19 orang peserta Kursus Kejurulatihan Lesen C AFC (21 November – 3 Disember 2016), dan 12 orang peserta Kursus Kejurulatihan Penjaga Gol AFC Tahap 1 (3-8 September 2016).

Dalam ucapan penutupnya, Pengiran Mohd Amirrizal turut menyatakan bahawa tugas seorang jurulatih bukannya mudah kerana menempuh banyak cabaran dan dugaan di sepanjang kariernya sebagai jurulatih terutama pada waktu pasukan tidak menghasilkan keputusan yang baik dalam perlawanan atau kejohanan.

“Seorang jurulatih hendaklah mempunyai mental yang kuat dan terus berusaha dalam melihat serta menilai kelemahan yang ada dalam pasukan dan memperbaikinya.”

“Seorang jurulatih juga perlu mempunyai sifat keterbukaan dalam menerima kritikan dan nasihat dari jurulatih berpengalaman. Itu setentunya akan dapat membantu dalam perkembangan dan pembangunan seseorang jurulatih berkenaan untuk menjadi seorang jurulatih yang berdaya saing.”

Pengiran Mohd Amirrizal turut menyeru para jurulatih supaya sentiasa belajar memperbaiki kelemahan dan menimba ilmu secara berterusan dengan mengikuti kursus kejurulatihan lain seperti sains sukan, kecergasan, pemakanan dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA