Manfaatkan masa bersama keluarga

Manfaatkan masa bersama keluarga

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Memiliki keluarga merupakan satu fitrah semula jadi manusia di mana setiap orang mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, keluarga yang bahagia adalah keluarga yang dibentuk berdasarkan perkahwinan yang sah, mampu memenuhi keperluan hidup dari sudut intelektual dan material, bertakwa kepada Allah yang Maha Esa, memiliki hubungan yang seimbang dan serasi antara anggota keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, Islam telah memberikan bantuan cara untuk mencapai keluarga yang bahagia, bermula daripada pemilihan pasangan dan Islam juga telah menggariskan ciri-ciri pasangan yang dapat memberikan kebahagiaan hidup berumah tangga.

“Untuk melahirkan sebuah keluarga yang sakinah, mawadah dan rahmah, ada beberapa elemen yang perlu diterapkan dalam sebuah keluarga itu antaranya ialah sentiasa berdoa kepada Allah supaya dikurniakan keluarga yang bahagia.

“Keinginan untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia ini, hidup rukun damai serta dikurniakan zuriat yang soleh dan cemerlang, hendaklah dengan cara sentiasa berdoa kepada Allah dan amalan ini merupakan yang sering dilakukan oleh para nabi dan rasul.”

Menurut Khatib, anggota keluarga yang mempunyai pegangan akidah Islam yang mantap, tidak akan mudah menyeleweng atau diselewengkan.

“Mengidamkan sebuah keluarga bahagia adalah impian setiap orang, tetapi impian tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa usaha, sehubungan itu, setiap ahli keluarga adalah berperanan dalam menjadikan sebuah keluarga itu, satu keluarga yang bahagia dan harmoni,” tambahnya.

Khatib seterusnya mengingatkan, supaya memanfaatkan masa bersama keluarga, jangan kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan dan sebagainya, keluarga menjadi terabai.

“Ingatlah kebahagiaan itu bukan bermaksud memberikan makanan, minuman, tempat berteduh tetapi kebahagiaan itu merangkumi kasih sayang, hormat menghormati, pemedulian dan sebagainya.”