Manfaatkan prasarana teknologi

Manfaatkan prasarana teknologi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Brunei adalah pengguna awal teknologi terkini seperti Next Generation Network (NGN), Fiber-to-the-Home (FTTH), rangkaian dan perkhidmatan 4G-LTE.

“Namun kita belum memanfaatkan sepenuhnya pelaburan dan prasarana yang ada yang boleh membawa kita ke tahap negara maju atau negara pengeluar.  Ini saya khuatir akan membawa impak yang signifikan terhadap jurang digital (digital divide) yang semakin ketara di negara ini,” kata  Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Menurut beliau, masih banyak lagi perlu diberi perhatian. Access to Internet terutamanya di kawasan luar bandar, dan Universal Connectivity dalam kalangan rakyat di negara ini, adalah satu cabaran yang akan membezakan perkembangan di negara ini dengan negara-negara yang membangun.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Graduasi ke-2 TelBru yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan TelBru.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan TelBru.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.

Lebih 360 orang kakitangan Telekom Brunei Berhad (TelBru) menerima sijil setelah berjaya menjalani program-program latihan mereka hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa seterusnya mencadangkan, untuk langkah ke hadapan, pihak TelBru meningkatkan lagi usaha ke arah pelaksanaan projek FTTH dan High Speed Broadband melepasi sasaran 40,000 rumah dan perniagaan pada tahun ini.

Manakala itu, Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay dalam ucapan alu-aluannya pula berkata bahawa TelBru mempunyai komitmen yang kuat untuk membangunkan kemahiran pekerjanya.

“Harapan para pelanggan terus meningkat dan kita perlu bergerak seiring dengan permintaan dan menyahut cabaran ini. Sebagai sebuah syarikat yang berasaskan prestasi, kami akan terus memupuk setiap pekerja dan membolehkan semua orang untuk melaksanakan hingga ke potensi sepenuhnya.

“Ini bermakna latihan berterusan dan latihan semula, dan semua orang perlu bersedia untuk itu. Kami akan terus mengambil cabaran untuk meningkatkan diri kita untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam industri ini.

“Majlis hari ini merupakan bukti komitmen itu. Para graduan yang akan menerima sijil mereka pagi ini telah dilatih dan diperakui kepada menyediakan perkhidmatan dan produk kepada pelanggan kami,” kata David Kay lagi.

Pada majlis itu, penyampaian sijil-sijil kepada seramai 41 orang pengambilan ketiga dan keempat Program Pembangunan Bakat Muda (Pelatih Pengurusan) dan pelatih teknikal TelBru seramai 15 orang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah selaku Pengerusi TelBru.

Bagi program lain seperti Protokol Internet Diperakui, Program Perantis Juruteknik TelBru, Program Pensijilan Penyeliaan TelBru, Program Pembangunan Perkeranian TelBru dan Program Perkembangan Bakat Serantau TelBru, sijil-sijil telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada tiga pelajar terbaik iaitu Pegawai Telefoni, Operasi dan Penyelenggaraan Teras VAS, Awang Muhammad Hamizan bin Haji Mohd Sufian daripada Program Protokol Internet Diperakui; Pegawai Rangkaian Akses, Awang Mohammad Izzuddin bin Haji Mustapa daripada Program Pensijilan Penyeliaan TelBru; dan Penolong Akaun, Kewangan Korporat, Dayang Rakiah binti Haji Tuah dari Program Pembangunan Perkeranian TelBru.

Pada majlis itu juga, seramai 10 orang pelajar dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal menerima surat rasmi bagi tajaan mengikuti pengajian Sijil Pendidikan Teknikal Tinggi Negara (HNC) dalam bidang Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat selama dua tahun.

Kursus yang diadakan bersama oleh TelBru dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ini akan bermula pada Julai 2016, di bawah Skim Latihan Perantisan TelBru termasuk latihan sambil bekerja yang ditaja sepenuhnya oleh TelBru.