Manfaatkan usaha pemantauan media

Manfaatkan usaha pemantauan media

SINGAPURA, 29 Mei – Syarikat-syarikat Malaysia disaran melaksanakan langkah pemantauan media dalam operasi seharian serta memanfaatkan kuasa media sosial yang mampu melonjakkan keupayaan mereka, kata firma risikan media berpejabat di Amerika Syarikat, Melwater Group.

Pemantauan media itu merujuk kepada tindakan menjejaki perbualan dalam bentuk tradisional mahupun menerusi media sosial.

“Saluran seperti media sosial misalnya merupakan peluang unik yang dapat menyuntik sentimen negatif atau positif pengguna secara langsung,” kata Pengarah Eksekutif Meltwater bagi Rantau Asia Pasifik, John Box kepada Bernama dalam wawancara menerusi e-mel.

Meltwater adalah antara firma risikan media terbesar dunia dengan rangkaiannya di 20 buah negara dan 41 bandar.

Mengulas lanjut, Box berkata, tindakan mengikuti perbualan dalam talian misalnya, akan membolehkan syarikat berkenaan memiliki kelebihan dari segi kepekaan dan memberi maklum balas secara pantas dan sebaik mungkin.

“Menerusi kecanggihan teknologi, amat penting sebenarnya untuk memiliki keupayaan pemantauan serta seiring dengan apa yang diperkatakan mengenai jenama anda, persaingan serta industri itu sendiri. Ia memberi anda peluang untuk bertindak dan memberi maklum balas terhadap sebarang berita berkaitan syarikat anda,” katanya.

Malah, jelas Box, ada entiti Malaysia yang terbukti berjaya mengamalkan pemantauan media oleh Meltwater.

Ini termasuk Kementerian Luar, Lembaga Pelancongan Sabah, World Fish, penyedia rangkaian mudah alih Perfect One Mobile Networks atau P1 serta Akademi Sains Malaysia.

“Pemantauan media ternyata dapat membantu syarikat perniagaan Malaysia kerana ia adalah saluran berkesan bagi mengelak kemungkinan berlakunya krisis. Usaha memantau sentimen terhadap jenama anda misalnya, membolehkan anda bertindak pantas menangani sesuatu perkara sebelum timbul sebarang krisis,” katanya.

Selain itu, usaha pemantauan media juga membolehkan syarikat menentukan tahap kejayaan strategi serta kempen mereka.

“Ia dapat membantu syarikat mengumpulkan maklum balas pengguna mereka dan sama ada berita itu diterima media sasaran seperti apakah jenama mereka menjadi bualan ramai serta reaksi positif atau negatif.

“Akses kepada sistem seumpamanya itu dapat meningkatkan tahap produktiviti dalam unit atau bahagian pemasaran dan komunikasi. Malah platform sedemikian turut menjadi gambaran kepada usaha penambahbaikan bagi kempen masa depan demi mencapai keputusan yang berkesan,” katanya.

Meltwater turut berpendapat bahawa kehadiran dalam talian turut menjadi alat komunikasi penting dalam masyarakat sekarang.

“Pencarian pantas di (enjin carian) Google misalnya boleh menyuntik atau menjejaskan imej jenama anda,” katanya.

Sehubungan itu, Box berkata, adalah penting bagi syarikat untuk sentiasa mengemaskinikan laman web atau laman media sosial mereka.

“Syarikat yang ada jenama perlu secara aktif berinteraksi dengan pengguna secara dalam talian. Mereka perlu dilihat sebagai peneraju dalam industri berkenaan dan antara kaedah melibatkan pengguna adalah menggabungkan kandungan yang asli atau yang dikumpulkan. Kandungan asli dalam bentuk artikel sumbangan dalaman atau rencana pendapat.

“Kandungan yang dikumpulkan pula merujuk kepada trend atau artikel sedia ada yang berkaitan dengan industri anda,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA