Manfaatkan usia panjang

Manfaatkan usia panjang

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Umat Islam yang dikurniakan umur yang panjang oleh Allah SWT sehingga mencapai usia warga emas, perlu bersyukur dengan nikmat usia itu dan memperbanyakkan lagi amal ibadat dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Usia panjang ini juga perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya dan terus berusaha memperbaiki diri dengan ketaatan dan melakukan amal perbuatan yang diredhai Allah SWT dan mengubah sikap ke arah kebaikan dan menghindari kelalaian.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menjelaskan mengenai kurniaan usia panjang kepada manusia yang menurutnya lagi, jika digunakan untuk menderhaka kepada Allah SWT, dengan melakukan perkara-perkara maksiat dan kejahatan, maka akan mendapat balasan azab daripada Allah SWT.

“Kita juga digalakkan untuk sentiasa mengingati mati agar mendorong kita untuk sentiasa mengerjakan amal soleh dan meninggalkan perkara yang sia-sia, memperbanyakkan zikir dan memperbanyakkan taubat,” kata Khatib.

Menurut Khatib lagi, dengan usia panjang, semakin mematangkan umat Islam yang sekali gus memungkinkan mereka untuk menerima penghormatan dan kasih sayang daripada segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.

Bertepatan dengan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas yang jatuh pada 1 Oktober setiap tahun dan disambut oleh negara-negara lain dan di seluruh dunia, Brunei Darussalam turut melahirkan komitmen melaksanakan tanggungjawab ke atas golongan warga emas ini.

Khatib menjelaskan lagi, rakyat negara ini harus bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat mengambil berat ke atas kebajikan warga emas, mereka tidak diabaikan dan dibiarkan begitu sahaja malah mendapat pemedulian dan bantuan yang sewajarnya.

Untuk itu, Khatib menyeru tanggungjawab terhadap warga emas itu dipikul bersama, bukan sahaja oleh kerajaan malahan semua lapisan masyarakat, khususnya anak-anak yang lebih bertanggungjawab terhadap mereka.

Anak-anak hendaklah berusaha menjaga hati dan perasaan warga emas dengan memberikan bantuan moral, kewangan dan kasih sayang. Jangan diabai dan disia-siakan mereka dan mendoakan kesejahteraan mereka dan semoga mereka sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT, ujar Khatib.

ARTIKEL YANG SAMA