Manggis FC tewaskan Muara Spurs 4-0

Manggis FC tewaskan Muara Spurs 4-0

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Kejohanan Bola Sepak Veteran DST – Piala Presiden 2016 meneruskan lagi agendanya hari ini dengan tiga perlawanan di tiga lokasi berbeza di seluruh negara.

Di Kompleks Sukan Sungai Kebun/Sungai Asam berlangsung perlawanan antara Muara Spurs menentang pasukan Manggis FC yang mana berkesudahan Manggis FC membenam Muara Spurs 4-0.

Gol-gol Manggis FC dijaringkan oleh Mahli Shah Haji Abdul Latif, dua jaringan Mohd Hanafi Abdullah Sani dan Pengiran Haji Mohd Faizulkarnain.

Sementara itu, perlawanan di Kompleks Sukan Batu Apoi Temburong pula menyaksikan pasukan tuan rumah Stoneville menewaskan Pasukan IKLS Veteran dengan jaringan 3-1. Gol-gol Stoneville dijaringkan oleh Idris Lupat apabila berjaya menggegarkan gawang IKLS Veteran seawal minit kedua perlawanan sebelum selang enam minit kemudiannya giliran Haji Adam Musa pula untuk menambahkan jaringan.

Pada minit ke-17 babak pertama Samin Duraman pula menambahkan jaringan tuan rumah untuk menjadikan kedudukan 3–0 dan jaringan tunggal pasukan pelawat pual dijaringkan oleh Sapri Haji Salleh.

Di samping itu, satu perlawanan akan berlangsung pada sebelah malam ini antara BSRC menentang Pasukan Setia Bakti ‘B’ di Kelab Rekreasi Brunei Shell pada jam 8 malam.

Pada hari Ahad pula, tiga perlawanan akan meneruskan persaingan mereka iaitu perlawanan antara BESA FC menentang BIP FT di Kompleks Sukan Sungai Kebun/Sungai Asam, TJ FT menentang PBDB di Kompleks Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas dan Mix FT menentang Rimba Star di Kompleks Sukan Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA