Mangsa angin kencang tidak diabaikan

Mangsa angin kencang tidak diabaikan

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 17 Julai – Mangsa yang terlibat dalam kejadian angin kencang pada 10 Julai lalu terus mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak yang berkenaan termasuk pihak swasta apabila Nazmi Textile Mall menghulurkan sumbangan derma kepada Tabung Kebajikan Daerah Tutong, kelmarin.

Dalam majlis yang diadakan di salah sebuah rumah mangsa di Kampung Pengkalan Mau, Mukim Kiudang, Tutong,
Pengarah Urusan Nazmi Textile Mall, Awang Naseer Ahmad Zakaria menghulurkan sumbangan berjumlah lebih $10,000 kepada Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Muhammad Ali.

Di majlis berkenaan, Awang Naseer Ahmad Zakaria turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada pemilik rumah yang rosak dalam kejadian angin kencang itu, Hajah Siti Rahmah yang mana sumbangan diharap dapat meringankan beban disebabkan oleh kejadian berkenaan.

Awang Wardi berkata kepada pihak Media Permata bahawa, sebanyak 28 buah rumah terjejas dalam kejadian angin kencang berkenaan di mana sebahagian besar rumah yang terjejas adalah di Kampung Kiudang.

Awang Naseer Ahmad Zakaria (tengah) menyampaikan sumbangan berjumlah lebih $10,000 bagi Ta-bung Kebajikan Daerah Tutong kepada Awang Wardi (kiri).
Awang Naseer Ahmad Zakaria (tengah) menyampaikan sumbangan berjumlah lebih $10,000 bagi Ta-bung Kebajikan Daerah Tutong kepada Awang Wardi (kiri).
Awang Naseer Ahmad Zakaria menyampaikan sumbangan kepada Hajah Siti Rahmah.
Awang Naseer Ahmad Zakaria menyampaikan sumbangan kepada Hajah Siti Rahmah.

Sebanyak sembilan buah rumah yang terjejas mengalami kerosakan atap dan di kawasan Rambai pula, sebanyak enam buah garaj mengalami kerosakan teruk.

Mengulas mengenai sumbangan yang dihulurkan, Awang Wardi amat mengalu-alukan bantuan yang dihulurkan oleh persatuan bukan kerajaan dan pihak swasta khususnya dalam membantu melaksanakan kerja-kerja kebajikan termasuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas oleh kejadian angin kencang itu.

Dalam hubungan itu, beliau berkata sumbangan yang dihulurkan oleh Nazmi Textile Mall diharap akan menjadi contoh bagi syarikat-syarikat lain untuk tampil ke hadapan bagi menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat semasa kejadian bencana seperti kejadian angin kencang.

Sebahagian besar daripada sumbangan yang dihulurkan oleh Nazmi Textile Mall akan dihulurkan bagi usaha membantu membaiki rumah-rumah yang terjejas oleh angin kencang itu seperti membaiki atap rumah.

Manakala itu, Awang Naseer Ahmad Zakaria di majlis berkenaan menyatakan bahawa, sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, adalah diharapkan sumbangan yang diberikan itu dapat membantu masyarakat dan menyumbang kepada tanggungjawab sosial korporat dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas oleh kejadian angin kencang.

ARTIKEL YANG SAMA