Mangsa banjir di Kuching meningkat

Mangsa banjir di Kuching meningkat

KUCHING, 8 Feb – Kira-kira 86 keluarga yang sedang berlindung di pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Taman Malihah, kira-kira 20 km dari sini cukup teruja dengan kehadiran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk menjenguk mereka, petang kelmarin.

Adenan bersama isteri Puan Sri Jamilah Anu tiba di pusat pemindahan itu pada kira-kira pukul 3:40 petang dan meluangkan masa selama lebih 40 minit daripada jadual ketat mereka, menzirahi rumah-rumah terbuka di hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina kelmarin.

Turut berada di Dewan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Seri Rohani Abdul Karim, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Misnu Taha.

Adenan berkata secara keseluruhan pengendalian urusan pemindahan mangsa ke pusat-pusat pemindahan berjalan dengan baik dan lancar, walaupun mungkin terdapat sedikit masalah kecil di sana-sini.

Katanya, beliau difahamkan hujan sejak lewat malam ahad mengakibatkan rumah 626 orang penduduk di sekitar daerah Kuching dan Bau dinaiki air, dan pemantauan rapi sedang dijalankan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, menziarahi mangsa banjir yang diberi perlindungan di Dewan Serbaguna Malihah, Kuching kelmarin. – Bernama
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, menziarahi mangsa banjir yang diberi perlindungan di Dewan Serbaguna Malihah, Kuching kelmarin. – Bernama

“Kami jangka keadaan bertambah baik hari ini, tetapi kami mengambil segala langkah berjaga-jaga, terutama bila air pasang,” katanya pada sidang akhbar ringkas di dewan itu.

Pada 4 petang, jumlah mangsa banjir di daerah Kuching dan Bau meningkat kepada 645 orang dari 147 keluarga, berbanding 560 dari 125 keluarga pada tengah hari tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Kuching 12:30 tengah hari tadi, di Sekolah Rendah Kebangsaan Sejijak yang menempatkan 51 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Sejijak.

Beliau berkata 469 mangsa daripada 103 keluarga masih berada di Dewan Serbaguna Taman Malihah, manakala 28 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Sinaran Lumut Kampung Sungai Lumut, Kuching.

“Seramai 64 orang daripada 15 keluarga pula masih berada di Dewan Serbaguna Kampung Pangkalan Bau, sementara di Sekolah Kebangsaan Siniawan, Bau terdapat 33 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.

Adenan berpuas hati dengan persiapan dan bantuan makanan dan sebagainya yang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan.

Beliau memuji usaha gigih semua pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi pemindahan serta penyaluran bantuan kepada mangsa, yang menurutnya berjalan lancar disebabkan persiapan.

Sementara itu, Rohani menasihati penduduk di kawasan yang dinaiki air banjir segera ke pusat pemindahan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata mereka perlu mematuhi arahan untuk berpindah daripada agensi-agensi yang terlibat.

“Kita bimbang air banjir naik secara mendadak dan akan timbul kesulitan sekiranya penduduk terjejas berlengah untuk berpindah,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Adenan meninjau keadaan mangsa banjir itu.

Rohani turut menasihatkan mangsa banjir supaya membawa bersama mereka keperluan asas seperti dokumen-dokumen penting, serta ubat-ubatan.

Di pusat pemindahan, katanya, mangsa diberi khidmat kaunseling bagi mengurangkan trauma.

Rohani berkata beliau amat berpuas hati dengan tindakan pantas agensi-agensi yang bertugas kerana berjaya bertindak dalam tempoh dua jam sebaik menerima laporan mengenai kejadian banjir. – Bernama