Mangsa banjir di Melaka meningkat

Mangsa banjir di Melaka meningkat

MELAKA, 7 Feb – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan banjir di Melaka meningkat kepada 3,092 orang daripada 670 keluarga sehingga 12 tengah hari ini, berbanding 2,659 orang daripada 587 keluarga pada 8 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata daerah Melaka Tengah mencatatkan bilangan mangsa banjir paling banyak iaitu 1,530 orang di tiga pusat pemindahan diikuti Alor Gajah sebanyak 1,480 orang di tujuh pusat pemindahan dan Jasin sebanyak 82 orang di tiga pusat pemindahan.

Ketika dihubungi Bernama, katanya di daerah Melaka Tengah sebanyak 1,024 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Sekolah Kebangsaan Kerubong (388 orang) Dan Masjidul Rahman Tanah Merah Kerubong (118 orang).

“Bagi daerah Alor Gajah pula, sebanyak 552 orang mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Balai Raya Taman Seri Bayu (499 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan (309 orang), Sekolah Kebangsaan Ganun (60 orang), Balai Raya Kampung Beringin (34 orang), Balai Raya Bukit Balai (18 orang) dan dan Balai Raya Bukit Tambun (8 orang).

“Di Jasin, sebanyak 55 mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Bekoh, Sekolah Kebangsaan Chohong (24 orang) dan Balai Raya Asahan (tiga orang)”.

Sebuah rumah digenangi air limpahan Sungai Melaka di kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. – Bernama
Sebuah rumah digenangi air limpahan Sungai Melaka di kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. – Bernama

Beliau berkata bantuan kepada mangsa banjir sedang diagihkan.

Di Negeri Sembilan, banjir semakin surut dengan dua pusat pemindahan iaitu Surau Kampung Nerambai di Rembau dan Balai Raya Kampung Lubok Cina di Port Dickson yang menempatkan 23 mangsa telah ditutup tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Kamal Mokhtar berkata lima pusat yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (F) Sungai Kelamah yang menempatkan 598 orang; Masjid Sungai Dua (22 orang); Balai Raya Parit Buloh, Air Kuning (17 orang); Balai Raya Sungai Kelamah (tujuh orang) dan Sekolah Kebangsaan Ladang, Gemas (empat orang), kesemuanya di Tampin.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir ketika ini ialah 648 orang membabitkan 158 keluarga berbanding 671 orang pagi tadi, katanya dalam kenyataan. – Bernama