Mangsa banjir kilat Utah meningkat

Mangsa banjir kilat Utah meningkat

SALT LAKE CITY, 16 Sept (Reuters) – Banjir kilat telah membunuh 12 orang berhampiran sempadan Utah dengan Arizona apabila ‘limpahan besar air dan serpihan-serpihan’ ekoran hujan lebat yang melanda lurah berhampiran, telah menghanyutkan mereka yang berada di dalam kereta, menurut para pegawai semalam.

Di Taman Negara Zion ke utara, empat orang terbunuh dan tiga orang lagi hilang selepas menjelajahi lurah pada Isnin lalu, para pegawai berkata.

“Satu lagi tragedi bagi negeri kami. Kebingungan sekarang ini,” Leftenan Gabenor Utah Spencer Cox berkata melalui Twitter.

Di bandar kecil Hildale, Utah, beratus-ratus sukarelawan membantu mencari seorang yang masih hilang, menurut para pegawai Wilayah Washington, selepas air banjir melanda jalan raya.

“Ini adalah kuasa Tuhan,” Datuk Bandar Hildale Philip Barlow memberitahu para pemberita tentang tragedi Isnin lalu, menurut Deseret News.

“Ini adalah sesuatu yang tidak dapat kita kawal. Ia berlaku terlalu cepat.”

Kru-kru telah melancarkan usaha mencari di tebing Short Creek di tengah turunan hujan sekali sekala, sementara para kontraktor yang menggunakan peralatan berat telah membuang beribu-ribu tan lumpur dan serpihan. The National Guard telah dihubungi bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

“Dalam banjir kilat dua kenderaan berpenghuni terkena limpahan besar air dan serpihan di Canyon Street Maxwell Crossing dan dihanyutkan ke arah banjir,” menurut kenyataan para pegawai Wilayah Washington.

Makluman kepada orang ramai supaya memasak air mereka telah dikeluarkan lewat semalam disebabkan kerosakan pada sistem air.

Gabenor Utah Gary Herbert berkata dia ‘sedih’ dengan mangsa yang kehilangan nyawa.