Mangsa bom Kabul cecah 41

Mangsa bom Kabul cecah 41

KABUL, 6 Sept – Letupan dan tembakan senjata meledak hari ini dalam serangan militan berlaku ke atas sebuah badan amal Kabul, meletus beberapa jam selepas dua pengeboman Taliban yang mengorbankan kira-kira 41 orang dan 110 cedera.

Seorang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah badan amal dipanggil Pamlarena, yang bermakna penjagaan dalam bahasa Pashto, tetapi tidak jelas jika sasaran adalah badan antarabangsa CARE.

Kepulan asap menjulang di ruang udara kawasan mewah Shar-e Naw selepas serangan bermula apabila letupan besar ketiga menggegarkan bandar Afghan lewat semalam.

Tidak ada kumpulan militan yang mengaku bertanggung jawab setakat ini di atas serangan ke atas badan amal itu tetapi ia berlaku ketika Taliban meningkatkan serangannya di seluruh negara ke atas kerajaan yang disokong oleh AS itu.

“Kami percaya dua penyerang telah memasuki bangunan. Malangnya seorang awam terbunuh dan enam orang lagi cedera,” Sediqqi memberitahu AFP. CARE International tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasannya.

Pasukan keselamatan Afghanistan berada di tapak serangan berani mati di Kabul, Afghanistan, kelmarin. – AP
Pasukan keselamatan Afghanistan berada di tapak serangan berani mati di Kabul, Afghanistan, kelmarin. – AP

Serangan berlaku beberapa jam selepas para pegawai tertinggi, termasuklah jeneral tentera, terbunuh dalam letupan dekat kementerian pertahanan, dalam serangan yang bertujuan mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan.

Letupan kedua berlaku ketika tentera, anggota polis dan orang ramai bergegas-gegas untuk membantu para mangsa dari letupan pertama yang berlaku di sebuah jambatan berhampiran kementerian itu.

Kereta ambulans bergegas ke tempat kejadian, yang penuh dengan mayat-mayat yang telah cacat dan serpihan hangus. Sebahagian mayat pula terpaksa dihantar ke hospital dengan disimpan di dalam but kereta dan di belakang lori pikap polis.

Para anggota bomba sementara itu, berusaha sedaya upaya mengambil beberapa mayat yang terhumban ke dalam sungai Kabul akibat kekuatan letupan pertama di jambatan berkenaan.

Jurucakap Kementerian kesihatan Waheed Majroh berkata dua pengeboman mengakibatkan 41 orang terbunuh dan 110 orang lagi cedera, sebilangan mereka cedera parah, dengan menambah kata mereka yang tercedera dan terkorban mungkin masih meningkat seterusnya.

Keganasan itu memperlihatkan teruknya situasi keselamatan di negara itu, yang memberi kesan teruk ke atas orang awam. – AFP