Mangsa bot hilang cerita detik terkandas di lautan

Mangsa bot hilang cerita detik terkandas di lautan

JOHOR BAHARU, 22 Mei (Bernama) – “Ketika sedang berkemas untuk pulang semula ke Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada pagi Khamis lepas, pak cik nampak minyak sudah mengalir keluar daripada tangki bot,” kata Mansor Ibrahim, 63, seorang daripada 12 mangsa bot yang hilang di perairan Pulau Aur, Mersing.

Mansor berkata dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada tekong sebelum mengesahkan terdapat kebocoran pada tangki minyak.

“Tetapi, atas faktor nak pulang cepat, kami memberanikan diri menghidupkan enjin dan berlayar sedikit namun akhirnya terkandas akibat kehabisan minyak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Mansor berkata apabila mengetahui bot kehabisan minyak, ada rakan-rakan yang mula panik, malah bersedih kerana khuatir tidak dapat berjumpa keluarga tambahan pula tiada rangkaian telefon di kawasan pulau itu yang menyukarkan mereka menghubungi sesiapa meminta pertolongan.

“Memandangkan pak cik adalah pemancing yang paling tua dan mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam memancing, jadi pak cik redakan perasaan takut mereka dengan pelbagai kata-kata semangat.

Mansor Ibrahim bersama isterinya Hajijah Mohd Zin, 50, mengemas joran dan peralatan memancing, ketika ditemui. – fotoBernama
Mansor Ibrahim bersama isterinya Hajijah Mohd Zin, 50, mengemas joran dan peralatan memancing, ketika ditemui. – fotoBernama

“Alhamdulillah, ia berkesan dan kami sama-sama menunggu, berharap ada bot yang melalui kawasan kami,” katanya.

Mansor berkata menjelang tengah hari, sebuah bot pukat tunda kelihatan kira-kira 30 batu nautika dari tempat mereka terkandas, namun bot itu tidak berhenti walaupun mereka sudah memberikan isyarat kecemasan dengan mengibar kain putih.

“Kami hampir berputus asa, tetapi selang beberapa jam selepas itu, sebuah lagi kapal melalui kawasan kami tetapi tidak juga berhenti,” katanya. Akhirnya, selepas dua hari terkandas, mereka ternampak sebuah helikopter dipercayai pasukan penyelamat, berlegar-legar di ruang udara kira-kira 5 petang semalam.

ARTIKEL YANG SAMA