Mangsa culik Korea Selatan ditemui mati

Mangsa culik Korea Selatan ditemui mati

FILIPINA, 1 Nov (AFP) – Seorang warga Korea Selatan yang diculik oleh pelampau Islam di selatan Filipina pada bulan Januari telah ditemui mati, menurut polis dan para pegawai tentera hari ini.

Tebusan itu, Hong Nwi-Seong, yang usianya dinyatakan sebagai 70 tahun, ditemui semalam di bandar Patikul di pulau Jolo yang dicengkam persengketaan, lebih sembilan bulan selepas dia diculik oleh anggota-anggota kumpulan Abu Sayyaf, menurut Brigadier Jeneral Alan Arrojado, pemerintah pasukan khas anti keganasan.

Arrojado berkata mangsa tidak dibunuh tetapi Abu Sayyaf telah membawa mayatnya ke kawasan itu ‘selepas kematian mangsa disebabkan sakit teruk.’

Jenis penyakit tidak didedahkan tetapi jurucakap tentera tempatan Kapten Antonio Bulao berkata warga Korea Selatan itu dilaporkan sakit beberapa minggu lalu dan meninggal dunia tiga hingga lima hari lalu.

Mangsa diculik dari rumahnya di semenanjung Zamboanga oleh lelaki-lelaki bersenjata pada 24 Januari lalu dan kemudian dilaporkan di bawah penahanan pemerintah-pemerintah Abu Sayyaf, menurut pihak ketenteraan.

Butiran penahanannya dan usaha untuk membebaskannya dirahsiakan untuk mengelak membahayakan tebusan.

Mayatnya telah dipindahkan ke bandar selatan Zamboanga dan akan diterbangkan ke Manila, menurut pihak berkuasa.

Seorang pegawai kementerian luar Korea Selatan, yang enggan mendedahkan identitinya sebelumnya telah mengesahkan kematiannya, lapor Agensi Berita Yonhap, Korea Selatan.

ARTIKEL YANG SAMA