Mangsa digesa segera mendaftar

Mangsa digesa segera mendaftar

TAWAU, 18 Sept (Bernama) – Anggota Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching menggesa agar mangsa yang terlibat dalam kejadian angin kencang di daerah ini Isnin lepas, segera mendaftar untuk memudahkan pengagihan bantuan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata mangsa yang belum berbuat demikian boleh mendaftar di Majlis Perbandaran Tawau (MPT) atau pejabat Parlimen Tawau.

“Saya berharap mangsa yang belum mendaftar agar segera berbuat demikian bagi memudahkan proses pengagihan bantuan. Saya mahu kesemua mangsa terlibat mendapat bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 79 keluarga yang terlibat dalam musibah itu, di sini Khamis.

Semalam, kerajaan telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM640,000 untuk membaik pulih 162 rumah yang rosak akibat angin kencang yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi Isnin lepas.

Gambar menunjukkan mangsa menurunkan bumbung yang diterbangkan oleh kejadian angin kencang di Tawau. - Bernama
Gambar menunjukkan mangsa menurunkan bumbung yang diterbangkan oleh kejadian angin kencang di Tawau. – Bernama

Sementara itu, Yap turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada kira-kira 70 buah surau dan masjid di kawasan Balung, Apas dan Sri Tanjung.

Katanya sumbangan berkenaan akan digunakan dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Diharapkan sumbangan berkenaan dapat membantu melancarkan dan memeriahkan lagi sambutan berkenaan walaupun selepas ditimpa bencana angin kencang baru-baru ini,” katanya.