Mangsa gempa bumi Itali meningkat 247

Mangsa gempa bumi Itali meningkat 247

ACCUMOLI, Itali, 25 Ogos – Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan tengah Itali meningkat kepada 247 hari ini, kata pegawai, tatkala para penyelamat masih berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan di kampung pergunungan itu.

Beratus-ratus yang lain cedera, beberapa orang dalam keadaan kritikal, dan angka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan pagi Rabu itu masih tidak diketahui.

Di tengah pergelutan akibat insiden gempa bumi tersebut, puluhan anggota penyelamat dan sukarelawan bertekad untuk mencari lebih ramai lagi mereka yang masih terselamat dalam runtuhan itu.

Penyelamat telah berikrar untuk berusaha sepanjang malam dengan harapan untuk mencari orang yang masih hidup dalam runtuhan bangunan tersebut.

Keadaan runtuhan rumah di Pescara del Tronto semalam, sehari selepas gempa bumi 6.2 magnitud melanda rantau ini yang mengorbankan 247 orang. – AFP
Keadaan runtuhan rumah di Pescara del Tronto semalam, sehari selepas gempa bumi 6.2 magnitud melanda rantau ini yang mengorbankan 247 orang. – AFP

Perdana Menteri Matteo Renzi sebelum ini memberi amaran bahawa angka itu mungkin meningkat selepas melawat kampung Amatrice yang dilanda gempa bumi paling teruk.

Beratus-ratus orang menghabiskan malam sejuk mereka di khemah yang dipasang secara tergesa-gesa dengan risiko gempa susulan menjadikan ia terlalu berisiko bagi mereka untuk pulang ke rumah.

Gempa bumi dengan magnitud antara 6.0 dan 6.2 itu melanda kawasan terpencil Umbria, Marche dan Lazio dalam tahun ini. Kebanyakan mangsa terdiri dari penduduk Rom.

Kawasan yang terjejas adalah di utara L’Aquila, sebuah bandar di mana kira-kira 300 orang maut dalam gempa bumi sebelumnya pada tahun 2009. – AFP