Mangsa helikopter terhempas di Yala berjaya dibawa keluar

Mangsa helikopter terhempas di Yala berjaya dibawa keluar

YALA, 26 Ogos – Kesemua tujuh penumpang helikopter Polis Thai jenis Bell 212 yang terhempas di antara kawasan Than To dan Benang Setar di Wilayah Yala malam tadi, mula dibawa keluar pagi tadi.

Helikopter dari Pusat Operasi Polis Wilayah Selatan itu dikesan terputus hubungan dengan radar kira-kira 6:45 petang (waktu tempatan) semalam, sebelum disahkan terhempas pada 8:30 malam.

“Pada 11:10 pagi tadi, juruterbang helikopter yang cedera parah dan seorang lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada lokasi kemalangan untuk dihantar ke hospital berdekatan,” kata anggota pasukan penyelamat.

Lima lagi penumpang helikopter malang itu juga dibawa keluar menggunakan tiga helikopter secara berperingkat selepas itu.

Pasukan penyelamat mula memasuki lokasi kemalangan pada 2 pagi tadi bersama doktor serta kakitangan perubatan untuk memberi rawatan awal kepada mangsa, kata anggota penyelamat itu.

Penolong Ketua Polis Thailand Lt Jen Suchart Tirasawat turut meninjau operasi membawa keluar mangsa terbabit. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA