Mangsa jenayah siber tidak serik

Mangsa jenayah siber tidak serik

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Pengguna yang pernah menjadi mangsa jenayah siber dalam tempoh 12 bulan lepas, masih terus mengamalkan tingkah laku tidak selamat dalam talian, demikian menurut kajian oleh syarikat keselamatan siber, Norton by Symantec.

Dalam Laporan Tinjauan Keselamatan Siber Norton 2016, syarikat itu berkata sikap tidak ambil kisah ini sangat membimbangkan memandangkan kadar jenayah siber yang kini semakin berleluasa.

“Penemuan kami menunjukkan bahawa orang ramai menyedari mengenai perlunya untuk melindungi maklumat diri dalam talian, namun tidak mengambil langkah berjaga-jaga secukupnya supaya kekal selamat,” kata Pengarah Perniagaan Pengguna Asia, Symantec Asia Pacific Pte Ltd, Chee Choon Hong kepada pemberita pada pelancaran laporan itu di sini hari ini.

Laporan tersebut merangkumi kaji selidik dalam talian terhadap 20,907 pengguna peranti berumur lebih 18 tahun di 21 pasaran.

Input di Malaysia membabitkan 1,000 pengguna peranti. Di Malaysia, dalam kalangan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya satu peranti yang tidak dilindungi, hampir dua dalam lima atau 38 peratus berkata mereka tidak memerlukan perlindungan kerana tidak melakukan sebarang aktiviti berisiko dalam talian.

Lebih separuh daripada pengguna berkata kini semakin sukar untuk kekal selamat dalam talian dalam tempoh lima tahun lepas. Laporan tersebut menyatakan sebanyak 74 peratus pengguna mengetahui mereka mesti melindungi maklumat dalam talian, namun masih berkongsi kata laluan dan mengamalkan tingkah laku lain yang berisiko.– Bernama