Mangsa kebakaran akan diberi bantuan

Mangsa kebakaran akan diberi bantuan

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) – Sedih dengan insiden kebakaran di Kampung Tanjung Kapor, Kudat, kira-kira 190km dari sini, pada awal Sabtu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor akan tampil menghulurkan bantuan kewangan RM300 kepada setiap keluarga terjejas.

Datuk Teo Chee Kang, yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, tersentuh dengan kejadian tersebut yang berlaku ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

“Apa yang sangat menyedihkan mengenai kejadian ini ialah kebanyakan penduduk di situ adalah umat Islam dan musibah ini berlaku pula di bulan Ramadan dan tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya akan balik ke kawasan saya dan akan menyampaikan bantuan kewangan kepada 276 ketua isi rumah terjejas. Saya juga berharap syarikat-syarikat besar akan turut tampil menghulurkan bantuan menerusi tanggungjawab sosial korporat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuih raya kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Menurut Teo, dalam kejadian kira-kira 1.48 pagi itu, sebanyak 202 rumah setinggan musnah melibatkan lebih 1,000 penduduk.

Beliau berkata kebakaran itu merupakan insiden kedua di kawasannya selepas kebakaran melibatkan 250 rumah di Kampung Landung Ayang pada 23 Mei lepas.

“Saya difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim akan melawat mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang, kalau tidak silap saya pada 30 Jun ini, dan akan menyampaikan bantuan wang ihsan.

“Saya berharap Datuk Seri Shahidan juga mengambil maklum mengenai kebakaran terbaru ini (di Kampung Tanjung Kapor) dan akan turut memanjangkan bantuan wang ihsan kepada mangsa terbaru ini,” katanya.

Teo juga berkata pihaknya sedang berusaha untuk menyediakan tapak bagi memindahkan penduduk setinggan di beberapa kampung sepanjang pesisiran pantai di Kudat.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan pusat mahupun negeri akan memberi bantuan dari segi peruntukan untuk membangunkan infrastruktur bagi kemudahan dan keselesaan penduduk di tapak baharu itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA