Mangsa kebakaran Kg Tamoi Ujong terima sumbangan

Mangsa kebakaran Kg Tamoi Ujong terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Sejumlah $38,900 telah disumbangkan kepada 10 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Tamoi Ujong dan Kampung Kasat, baru-baru ini, pada Majlis Sumbangan Kewangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Jalan Kumbang Pasang, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail. Turut hadir ialah para pegawai dan kakitangan Yayasan.

Sumbangan-sumbangan diterima oleh Haji Shari bin Haji Lakim, Awang Mohd Shahminan bin Haji Shari, Awang Roslan bin Mohamad/Ahmad, Hajah Kayah binti Haji Osman, Dayang Harini binti Haji Haris, Awang Suhardi bin Latif, Awang Abdul Hamid bin Suhardi, Hajah Halimah binti Haji Duraman dan Haji Mohd Khudzairi bin Haji Marfuji yang mana keluarga mereka menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Tamoi Ujong.

Manakala Awang Mohd Hazwandy bin Untong pula mangsa kebakaran dari Kampung Kasat.

Haji Brahim (kiri) menyampaikan sumbangan derma kepada Haji Shari.
Haji Brahim (kiri) menyampaikan sumbangan derma kepada Haji Shari.

pg09_160129_b

Salah seorang penerima sumbangan, Haji Shari semasa ditemui telah mengucapkan ribuan terima kasih atas pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan tidak dilupakan pihak yayasan yang secara berterusan memeduli mereka yang sedang dalam kesusahan.

Sumbangan berkenaan merupakan salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan iaitu untuk memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana rumah roboh dan kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Sumbangan ini juga sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.