Mangsa kebakaran kilang di Bangladesh meningkat

Mangsa kebakaran kilang di Bangladesh meningkat

DHAKA, 12 Sept – Angka kematian dari ledakan dandang dan kebakaran yang menyusul berikutnya di sebuah kilang pembungkusan di Bangladesh pada hujung minggu telah meningkat kepada 31 orang selepas lebih banyak mati ditemui dalam serpihan-serpihan, menurut seorang pegawai hari ini.

Letupan besar awal Sabtu lalu di Tampaco Foils Ltd, kilang terletak berhampiran ibu negara, Dhaka, telah mengakibatkan kebakaran besar yang cepat merebak di kilang itu, tempat kimia mudah terbakar disimpan.

Dua puluh tiga orang pekerja terkorban serta-merta. Enam lagi mayat ditemui petang semalam, dan dua lagi ditemui pada sebelah malam ketika anggota bomba membersihkan serpihan, menurut ketua pentadbiran setempat, S A Alam.

Sekurang-kurangnya lapan pekerja masih hilang hari ini, kata Alam, sambil menambah bahawa pencarian mayat-mayat akan diteruskan sementara pihak berkuasa cuba memastikan apakah punca letupan.

Sabtu lalu adalah hari terakhir bekerja di kilang itu sebelum para pekerja bercuti bagi cuti seminggu panjang bagi hari raya Aidil Adha yang jatuhnya pada esok hari.

Keadaan kilang pembungkusan yang terbakar di Bangladesh. Angka kematian dari ledakan dandang dan kebakaran yang menyusul berikutnya di sebuah kilang pembungkusan di Bangladesh pada hujung minggu telah meningkat kepada 31. – AFP
Keadaan kilang pembungkusan yang terbakar di Bangladesh. Angka kematian dari ledakan dandang dan kebakaran yang menyusul berikutnya di sebuah kilang pembungkusan di Bangladesh pada hujung minggu telah meningkat kepada 31. – AFP

Para pekerja yang terbunuh hampir menamatkan tempoh giliran semalaman mereka apabila letupan berlaku sekitar pukul 6 pagi.

Tiga belas orang dirawat bagi kecederaan melecur di Dhaka Medical College and Hospital, termasuklah enam dalam keadaan kritikal, Mohammed Bacchu Mia, pegawai polis di hospital itu berkata hari ini.

Anggota keluarga yang dalam kegelisahan berkerumun di hospital itu hari ini mencari anggota keluarga mereka.

Kebakaran di kilang pakaian di pinggir kota Dhaka telah mengorbankan 112 orang pekerja pada tahun 2012. pada tahun 2013, kompleks komersial berhampiran Dhaka yang menempatkan lima kilang pakaian telah runtuh, membunuh 1,135 orang, bencana perindustrian paling teruk di Bangladesh. – AP

ARTIKEL YANG SAMA