Mangsa kebakaran rumah terima sumbangan SUKA

Mangsa kebakaran rumah terima sumbangan SUKA

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Feb – Atas rasa prihatin terhadap mangsa-mangsa kebakaran rumah yang berlaku baru-baru ini di Kampung Menengah, Temburong, Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Daerah Temburong hari ini menyalurkan sumbangan pakaian yang diadakan di Jalan Kastam Lama, Bangar.

Sumbangan kepada 14 ahli keluarga mangsa kebakaran itu telah disempurnakan oleh Ketua Urus setia SUKA, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali bersama lima ahli SUKA.

Menurut salah seorang ahli SUKA, bantuan dan sumbangan itu, diungkayahkan berdasarkan maklumat yang disalurkan melalui rangkaian kerjasama kumpulan sukarelawan terdiri daripada pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Bantuan itu merupakan sumbangan daripada orang ramai menerusi Program ‘Sumbang dan Bantu’ Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa anjuran SUKA.

Ahli-ahli SUKA bergambar ramai bersama Ketua Kampung Menengah, Mejar (B) Ampuan Hussain bin Ampuan Mattahir dan mangsa-mangsa kebakaran.
Ahli-ahli SUKA bergambar ramai bersama Ketua Kampung Menengah, Mejar (B) Ampuan Hussain bin Ampuan Mattahir dan mangsa-mangsa kebakaran.

Setakat ini, pihak SUKA masih lagi menerima sumbangan-sumbangan berbentuk pakaian daripada orang ramai.

Semenjak SUKA ditubuhkan pada Februari 2015, penyerahan sumbangan ini merupakan misi pertama pihak SUKA dalam memberikan bantuan dan sumbangan di luar daerah selain Daerah Tutong.

Pada masa ini, lebih 40 sukarelawan menyertai ahli SUKA, sebuah badan yang sememangnya sentiasa bergiat aktif menyumbangkan khidmat sukarela dalam apa saja bentuk bantuan kepakaran dan kemahiran, pemudah cara, bencana alam, tenaga kerja, pengurus acara dan seumpamanya kepada masyarakat sesuai dengan slogan SUKA iaitu ‘Berwawasan dan Berintegriti’.

ARTIKEL YANG SAMA