Mangsa kebakaran terima agihan zakat

Mangsa kebakaran terima agihan zakat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Azrol Azmi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Dalam usaha untuk meringankan beban mangsa kebakaran baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah menyerahkan sejumlah $1,200 wang agihan zakat kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Batu Ampar, Jalan Mulaut-Limau Manis.

Hadir untuk menyerahkan agihan zakat pada majlis yang berlangsung di Bilik Seroja, KHEU itu ialah Pemangku Timbalan Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu.

Pada majlis penyampaian itu, agihan zakat yang berupa bantuan kewangan sebanyak $1,200 telah diserahkan kepada dua buah keluarga yang terdiri daripada enam orang penghuni yang terlibat dalam musibah kebakaran di Kampung Batu Ampar pada 19 April 2016.

Mereka yang menerima bantuan agihan wang zakat tersebut ialah pemilik rumah, Awang Yaakub bin Serail, 80, yang menerima sebanyak $200, cucu beliau, Awang Mazlan bin Adam bersama isteri dan tiga orang anaknya yang menerima sebanyak $1,000.

Haji Hamzah menyerahkan agihan wang zakat kepada salah seorang mangsa kebakaran.
Haji Hamzah menyerahkan agihan wang zakat kepada salah seorang mangsa kebakaran.

Selain bantuan kewangan yang diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin, ketiga-tiga anak Awang Mazlan yang masih bersekolah itu juga menerima bantuan peralatan persekolahan.

MUIB berharap, agihan wang zakat itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa dan dalam masa yang sama menyeru kepada mereka supaya lebih berhati-hati serta berwaspada dalam menjaga keselamatan anggota keluarga daripada ditimpa musibah.

ARTIKEL YANG SAMA