Mangsa kebakaran terima bantuan

Mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – ​Kesemua mangsa kejadian kebakaran yang melibatkan tiga buah kebakaran di Kampung Sungai Matan pada 13 Julai lalu, hari ini, menerima sumbangan berbentuk kewangan, makanan asasi dan pakaian daripada Persatuan Pertiwi.

Hadir menyampaikan sumbangan-sumbangan berkenaan ialah Penasihat Pertiwi, Datin Paduka Hajah Zahrah binti Haji Idris, Naib Yang Di-Pertua, Datin Hajah Fatimah, Pengerusi Pertiwi, Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawi dan Datin Hajah Rusni binti Tungkat yang merupakan ahli jawatankuasa Pertiwi.

Keprihatinan dan inisiatif Persatuan Pertiwi memberikan sumbangan kewangan dan menyediakan barangan keperluan harian yang diperlukan itu bertujuan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik agar mereka dapat menjalani kehidupan mereka seperti sedia kala.

Menurut kenyataan Persatuan Pertiwi, sumbangan barangan pakaian berkenaan adalah hasil sumbangan daripada ahli-ahli persatuan yang telah dikumpulkan bagi didermakan kepada mangsa-mangsa kebakaran berkenaan. Semoga dengan inisiatif yang diambil ini akan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka dengan lebih sempurna, menurut persatuan itu lagi.

Pada majlis itu, Media Permata juga berkesempatan menemu bual mangsa kebakaran, Awang Mohd Jamri bin Abdullah dan isteri beliau, Dayang Rosita binti Muhammad.

Salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Sungai Matan menerima sumbangan daripada Persatuan Pertiwi.
Salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Sungai Matan menerima sumbangan daripada Persatuan Pertiwi.

Awang Mohd Jamri melahirkan perasaan amat bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh persatuan berkenaan. Beliau tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan, Majlis Ugama Islam Brunei dan pihak-pihak perseorangan yang turut memberikan sumbangan-sumbangan sebelum ini.

Dayang Rosita juga berkata, setakat ini mereka sekeluarga terpaksa menumpang buat sementara di rumah kakaknya di Kampung Bolkiah A.

“Kami juga berharap pihak-pihak yang berkepentingan akan dapat membantu kami sekeluarga untuk mendapatkan sebuah rumah perumahan, agar kami dapat menjalankan kehidupan kami seperti biasa,” ujarnya.

Mangsa-mangsa kebakaran yang turut menerima sumbangan ialah Awang Said bin Bungsu dan Haji Mohd Jaafar bin Haji Ering.

ARTIKEL YANG SAMA