Mangsa kebakaran terima bantuan

Mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan terus prihatin dan peduli ke atas warga sekolah yang terlibat dalam tragedi kebakaran rumah dengan menghulurkan sumbangan derma untuk meringankan beban mereka.

Majlis penyampaian derma yang berlangsung di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri, hari ini, telah disampaikan oleh Penolong Pengarah/Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Mohamad bin Rajap.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, pengetua, guru besar dan guru-guru dari sekolah-sekolah berkenaan.

Sumbangan itu dihulurkan kepada beberapa orang pelajar dari Sekolah Tanjong Kindana dan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri serta seorang kakitangan yang bertugas di Sekolah Rendah Sungai Siamas yang ditimpa musibah kebakaran rumah mereka di Kampung Pudak pada 20 Oktober lalu.

Haji Mohamad dan para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah bergambar ramai bersama para penerima dan keluarga mereka.
Haji Mohamad dan para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah bergambar ramai bersama para penerima dan keluarga mereka.

Pada majlis berkenaan, Haji Mohamad telah menyampaikan sumbangan derma keseluruhan berjumlah $3,367 kepada para penerima iaitu Dayang Nurul Adiba binti Mulyadi, pelajar Tahun 8 dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Awang Muhammad Halif bin Mulyadi, Tahun 6 dari Sekolah Rendah Tanjong Kindana, Dayang Nur Fadzillah binti Mulyadi, Tahun 2 dari Sekolah Rendah Tanjong Kindana, Awangku Mohamad Izzat Lufti bin Pengiran Anne Fadillah, Tahun 4 dari Sekolah Rendah Tanjong Kindana, Dayangku Fatin Izzatul Syazqwana binti Pengiran Anne Fadillah, Tahun 1 dari Sekolah Rendah Tanjong Kindana, Awang Aliuddin bin Ajak, Tahun 4, Sekolah Rendah Tanjong Kindana dan Dayang Noorhidayah binti Haji Matali, tukang masak bagi Sekolah Rendah Sungai Siamas yang mana mereka masing-masing menerima derma sebanyak $481 setiap seorang.

Para penerima sumbangan menyatakan kepada Media Permata bahawa mereka amat bersyukur dengan derma yang dihulurkan kerana ia dapat membantu meringankan beban mereka dan akan digunakan bagi membuat persiapan dan membeli peralatan-peralatan keperluan sekolah bagi anak-anak mereka.

Sumbangan berupa wang tunai itu adalah hasil kutipan derma daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di Jabatan Sekolah-sekolah dan juga daripada pusat tingkatan enam, maktab-maktab, sekolah menengah dan sekolah-sekolah rendah di bawah Kluster 4.

ARTIKEL YANG SAMA