Mangsa kebakaran terima bantuan

Mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sebuah keluarga dan seorang warga emas yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu, Daerah Brunei dan Muara dan di Kampung Keriam, Daerah Tutong, hari ini menerima sumbangan berupa kewangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Majlis penyerahan sumbangan berjumlah $12,650 keseluruhannya itu telah diadakan di Ibu Pejabat Yayasan, di Jalan Kumbang Pasang, hari ini, dan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Mengimbas kembali musibah yang menimpa kepada mangsa kebakaran di Kampung Limau Manis, Awang Mazlan bin Adnan ketika ditemu bual oleh Media Permata berkongsi pengalaman beliau ketika kejadian itu berlaku.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 atau 10 pagi itu terjadi ketika beliau sedang berada di tempat kerja sebelum dihubungi oleh isterinya mengenai kejadian musibah tersebut.

Awang Mazlan bin Adnan menerima sumbangan kewangan.
Awang Mazlan bin Adnan menerima sumbangan kewangan.
Dayang Kalsum binti Haji Jaafar menerima sumbangan kewangan daripada Pengarah Urusan Yayasan.
Dayang Kalsum binti Haji Jaafar menerima sumbangan kewangan daripada Pengarah Urusan Yayasan.

“Saya tergamam sebaik sampai di rumah dari tempat kerja dan tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah, apa yang saya fikirkan, isteri dan anak saya yang hamil itu saja,” katanya.

“Hanya baju yang dipakai pergi bekerja sahaja yang tinggal, kesemua barangan katering, wang, dan segala-galanya telah musnah,” ujar Awang Mazlan lagi.

Jelasnya, hasil siasatan daripada pihak bomba mendapati punca kebakaran berasal daripada pendawaian yang usang, memandangkan rumah yang diperbuat daripada kayu itu sudah berusia 30 tahun.

Turut menerima sumbangan ialah anak menantu beliau, Awang Mohd Adizarin bin Abd Latif dan bapa mertua beliau, Awang Yaakub bin Israil.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran di Kampung Keriam, Dayang Kalsum binti Haji Jaafar juga berkongsi pengalaman kepada Media Permata mengenai musibah kebakaran yang dialaminya.

Menurutnya, kejadian kebakaran yang menimpa rumah yang kini sudah didiaminya selama 60 tahun itu berlaku selepas beliau mendengar bunyi letupan kecil di dalam bilik, lalu beliau menjenguknya dan mendapati api sudah pun merebak secara meluas. Beliau bagaimanapun cuba memadam api tersebut tetapi tidak berjaya.

Sebelum kejadian, beliau sedang menggunakan pengecas telefon di dalam bilik berkenaan dan meninggalkan menuju ke ruang dapur.

“Setelah mencuba beberapa kali memadamkan api tetapi tidak berjaya, saya terus keluar dan meminta bantuan daripada orang kampung”.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat  baginda sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat, di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Penubuhan yayasan tersebut juga merupakan salah satu tujuan untuk memberikan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana rumah roboh dan kebakaran rumah. Bantuan ini juga akan dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA