Mangsa kebakaran terima bantuan

Mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

TUTONG, 28 April – Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, kelmarin, telah menyerahkan sumbangan berupa pakaian kepada mangsa kebakaran rumah baru-baru ini di Kampung Sungai Paku, Telisai, Tutong.

Mangsa, Awang King Chiew Phung merupakan seorang penduduk tetap dan tidak mempunyai pekerjaan, yang tinggal bersama isteri dan seorang anak mereka.

Kejadian kebakaran pada 23 April lalu itu telah menyebabkan beliau kehilangan harta benda dan juga tempat tinggal.

Penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di rumah mangsa dan disempurnakan oleh urus setia SUKA.

Penyerahan sumbangan ini merupakan kali ketiga dilaksanakan oleh pihak SUKA sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan mereka sebagai usaha untuk membantu masyarakat yang memerlukan melalui Program Sumbang dan Bantu yang telah dilancarkan semasa ‘Day of Action’ (D.O.A) sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Penyerahan sumbangan kepada mangsa.
Penyerahan sumbangan kepada mangsa.

Hadir sama ialah Penghulu Mukim Telisai yang juga selaku ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan juga Ketua Kampung Telisai, Awang Maidin bin Abdul Wahid, wakil Jabatan Daerah Tutong dan urus setia serta ahli-ahli SUKA Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA