Mangsa kebakaran terima bantuan

Mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Mangsa-mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Sungai Kebun pada hari raya kelapan, baru-baru ini, terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di negara ini.

Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, hari ini, telah menghulurkan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran berkenaan, yang pada masa ini tinggal di kediaman anaknya di RPN Kampong Panchor Mengkubau.

Sumbangan berupa barangan makanan asasi dan pakaian yang diberikan oleh MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau telah disampaikan oleh ahli Jawatankuasa MPK sebagai usaha meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa kebakaran.

Semasa ditemu bual media, Awang Mohd Said bin Bungsu yang merupakan salah seorang ketua keluarga dari tiga buah rumah yang ranap dijilat api itu, menjelaskan bahawa semasa kejadian itu berlaku, beliau sedang menunaikan solat Subuh dan isteri beliau ketika itu sudah bangun dan terkejut apabila mendengar bunyi letupan seperti bunga api.

AJK MPK menyampaikan sumbangan kepada Awang Mohd Said dan isteri beliau di kediaman anaknya di RPN Kampung Panchor Mengkubau.
AJK MPK menyampaikan sumbangan kepada Awang Mohd Said dan isteri beliau di kediaman anaknya di RPN Kampung Panchor Mengkubau.

Sebaik saja mendengar bunyi tersebut, isterinya melihat ke luar jendela rumah dan melihat rumah jiran sebelah sudah dijilat api dan terus berteriak lalu mengejutkan ahli keluarga yang sedang tidur ketika itu.

Awang Mohd Said yang terkejut mendengar jeritan isterinya terus mengejutkan dan mendapatkan ahli keluarga yang lain untuk keluar dari rumah mereka sehelai sepinggan tanpa sempat menyelamatkan barang-barang penting mereka.

ARTIKEL YANG SAMA