Mangsa kebakaran terima bantuan zakat

Mangsa kebakaran terima bantuan zakat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Dalam usaha untuk meringankan bebanan yang ditanggung mangsa kebakaran Kampung Pulaie baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Negara Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini menyerahkan sejumlah $600 wang agihan zakat.

Hadir menyampaikan wang bantuan zakat pada majlis yang berlangsung di Bilik Seroja KHEU ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

Agihan wang zakat itu merupakan bantuan kewangan kepada sebuah keluarga yang terdiri daripada tiga orang penghuni sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pulaie pada 1 April 2016.

Penerima wang zakat itu ialah pemilik rumah, Hajah Rasiah binti Haji Ja’afar yang menerima $200, anak beliau Pengiran Anie bin Pengiran Haji Chuchu yang juga menerima sejumlah $200 serta cucunya, Awangku Mohd Aiman Syafiq bin Pengiran Anie yang menerima wang tunai $200 dan bantuan peralatan sekolah.

Hajah Rasiah (kiri) bersama anak dan cucunya pada majlis penyampaian agihan zakat
Hajah Rasiah (kiri) bersama anak dan cucunya pada majlis penyampaian agihan zakat
Haji Aziz menyampaikan agihan wang zakat kepada Hajah Rasiah
Haji Aziz menyampaikan agihan wang zakat kepada Hajah Rasiah

 

Dalam kenyataannya hari ini, MUIB menyatakan semua wang tunai dan perbelanjaan bagi pembelian peralatan sekolah itu diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf dan Fakir Miskin.

Jabatan itu berharap agihan zakat tersebut dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan supaya mereka lebih berhati-hati serta sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan anggota keluarga daripada ditimpa musibah.

ARTIKEL YANG SAMA