Mangsa kebakaran terima sumbangan

Mangsa kebakaran terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, pagi tadi, telah menghulurkan sumbangan kepada mangsa musibah kebakaran rumah yang berlaku Julai lalu di Kampung Sungai Panga, Mukim Sungai Kebun.

Para penerima terdiri daripada seorang guru dari Sekolah Rendah (SR) Pengiran Anak Puteri Besar iaitu Dayang Norshahrizawati binti Mohd Said dan dua orang pelajar, dari SR Sungai Kebun dan Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, iaitu Awang Muhammad Naquiddin Ariel bin Jenin dan Awang Muizudin Aiman bin Jenin.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan tersebut pada majlis berlangsung di SM Awang Semaun ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat.

Dayang Norshahrizawati ketika menerima sumbangan.
Dayang Norshahrizawati ketika menerima sumbangan.

Menurut Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Nudin bin Haji Mohammad, sumbangan seumpamanya diharap dapat digunakan dalam keperluan dan kegunaan harian dalam usaha untuk meringankan lagi bebanan para mangsa.

“Sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan daripada para pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Sekolah-sekolah yang bertujuan untuk membantu para mangsa. Kami berharap para mangsa akan menggunakan sumbangan ini dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Unit Pentadbiran dan Perhubungan Awam, Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Selamat bin Abdullah, pegawai-pegawai dari jabatan berkenaan, pengetua dan guru besar dari sekolah-sekolah yang terlibat serta para ibu bapa dan penjaga.

ARTIKEL YANG SAMA