Mangsa kebakaran terima sumbangan

Mangsa kebakaran terima sumbangan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 13 Okt – Sebuah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Sungai Teraban, Ogos lalu, telah menerima bantuan berupa wang, makanan serta barang keperluan asas daripada Majlis Ugama Islam Brunei.

Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Alam berkenaan telah diadakan di Dewan Mesyuarat Pejabat Ugama cawangan Kuala Belait dan disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait iaitu Awang Mohd Aliyani bin Haji Ismail.

Menurut kenyataan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, bantuan berkenaan adalah bagi meringankan beban keluarga Awang Mohd Amiruddin bin Ahmad.

Menceritakan mengenai kejadian malang pada 14 Ogos lalu itu, Awang Mohd Amiruddin, yang tinggal bersama lapan orang ahli keluarga yang lain, berkata pada pukul 8 malam beliau bersama isterinya terdengar bunyi letupan yang kuat dari bawah rumah.

Menurutnya, beliau bergegas turun dan mendapati api marak datang dari bilik stor dan cuba sedaya upaya untuk mengawal keadaan api dengan menyimbah air menggunakan hos tetapi kekurangan air ketika itu melambatkan lagi usahanya untuk menyelamatkan keadaan.

Awang Mohd Aliyani (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Awang Mohd Amiruddin.
Awang Mohd Aliyani (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Awang Mohd Amiruddin.

Beliau turut memberitahu bahawa bantuan datang daripada pelbagai pihak setelah cerita mengenai musibah yang melanda keluarganya itu dipaparkan dalam akhbar.

“Alhamdulillah ramai keluarga dan sanak-saudara saya datang bagi membantu membersihkan kawasan kebakaran tersebut setelah ia dipastikan selamat dan ramai yang datang ke hadapan untuk membantu menderma sumbangan dan bukan sahaja dari mereka malahan daripada ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban, individu-individu persendirian, kakitangan swasta dan kerajaan yang lain juga memberikan sumbangan derma kepada keluarga saya,” ujar beliau ketika ditemui selepas majlis penyerahan derma berkenaan.

Buat masa ini, keluarga tersebut tinggal bersama sanak-saudara yang lain di Kampung Sungai Teraban.

ARTIKEL YANG SAMA