Mangsa kebakaran terima sumbangan

Mangsa kebakaran terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Enam orang pelajar dari Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri dan Sekolah Rendah Tanjung Kindana, yang merupakan mangsa kebakaran rumah di Kampung Pudak telah menerima sumbangan daripada Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Penyampaian sumbangan pada majlis yang berlangsung di Sekolah Rendah Tanjung Kindana, di sini hari ini, telah disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Azis bin Haji Nayan.

Sumbangan ini bertujuan untuk memastikan para pelajar terbabit akan dapat mengikuti pelajaran mereka dan hadir ke sekolah seperti biasa.

Pihak Kementerian Pendidikan melalui Unit Skim Miftaahun Najaah telah menghulurkan bantuan berupa peralatan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, alat tulis dan barang-barang keperluan para pelajar berkenaan.

Di samping itu, para pelajar berkenaan juga menerima bantuan persekolahan segera daripada sekolah masing-masing yang membolehkan para pelajar berkenaan untuk mengikuti pembelajaran mereka seperti biasa.

Bantuan tersebut juga diharap akan menguatkan lagi azam para pelajar berkenaan untuk meneruskan pembelajaran mereka setelah menempuhi musibah kebakaran yang lalu.

Dalam kejadian kebakaran di Kampung Pudak pada 20 Oktober lalu itu, empat buah keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Ini mengakibatkan tujuh orang pelajar kehilangan peralatan persekolahan mereka, iaitu Awang Mohd Haliki (pelajar Tahun 6), Dayang Nur Fadzilah (Tahun 2), Awangku Mohd Izzat Lufti (Tahun 4), Dayangku Fatin Izzatul Syazwan (Tahun 1), Awang Aliuddin (Tahun 4), Dayang Nurul Adiba (Tahun 8) dan Dayang Noor Syafiqah (Tahun 3).

ARTIKEL YANG SAMA