Mangsa kebakaran terima sumbangan

Mangsa kebakaran terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Sembilan buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di STKRJ Kampung Tungku, Kampung Menengah dan Kampung Bolkiah A baru-baru ini, telah menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, hari ini.

Keseluruhannya, sebanyak $24,250 telah disumbangkan kepada keluarga-keluarga berkenaan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Para penerima terdiri daripada keluarga Dayang Latifah binti Haji Mahmus dan Awang Ahmad Juzlan bin Haji Bujang dari STKRJ Kampung Tungku, Haji Moktar bin Siling, Ampuan Rahim bin Ampuan Sabli, Awang Bakri bin Haji Gapar, Awang Saifulizan bin Haji Abdullah, Awang Shahrul Shazwan bin Bakir dan Awang Asri bin Yusof dari Kampung Menengah Temburong, manakala itu, mangsa kejadian di Kampung Bolkiah A ialah Dayang Narmah binti Bakar.

Haji Brahim menyerahkan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran.
Haji Brahim menyerahkan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran.

Sumbangan ini merupakan salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan iaitu memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana rumah roboh dan kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

ARTIKEL YANG SAMA