Mangsa kebakaran terima sumbangan bantuan

Mangsa kebakaran terima sumbangan bantuan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Sebanyak 1,050 sumbangan derma daripada ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong (BIKMM) dan muslimah serta jemaah BIKMM yang berjaya dikumpulkan telah disumbangkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Batu Ampar, Dayang Noorhayati binti Shahbudin, pagi tadi.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan derma tersebut ialah Ketua Kampung Mata-Mata Gadong, Haji Metali bin Haji Kamis dan wakil Muslimah BIKMM yang juga turut menyumbangkan barang keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

Kejadian kebakaran di Kampung Batu Ampar yang berlaku kelmarin merupakan rumah milik suami kepada Dayang Noorhayati, Awang Mazlan bin Haji Adam. Mereka mempunyai tujuh orang ahli keluarga termasuk seorang warga emas dan tiga orang anak yang tinggal di rumah berkenaan.

Ketua Kampung Mata-Mata Gadong menyampaikan sumbangan derma kepada mangsa kebakaran di Kampung Batu Ampar, pagi kelmarin.
Ketua Kampung Mata-Mata Gadong menyampaikan sumbangan derma kepada mangsa kebakaran di Kampung Batu Ampar, pagi kelmarin.

Majlis penyerahan derma tersebut diselajurkan dengan penyerahan sumbangan sedekah kepada golongan yang memerlukan di Kampung Wasan dan Kampung Parit, Pengkalan Batu.

Menurut kenyataan oleh AJK Takmir BIKMM bahawa projek ini akan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa dan berharap lebih ramai lagi orang turut serta dalam sama-sama membantu mereka yang memerlukan, di samping menjadikan masjid, surau dan balai ibadat sebagai pusat kemasyarakatan.

AJK Takmir BIKMM sebelum ini juga bergiat aktif dalam menghulurkan sumbangan derma kepada golongan yang memerlukan khususnya di Kampung Lugu dan Tanjong Nangka, termasuklah kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Keriam baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA