Mangsa kebakaran terima sumbangan Yayasan

Mangsa kebakaran terima sumbangan Yayasan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah $27,900 kepada enam buah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di beberapa buah kampung di seluruh negara, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan kepada ketua-ketua keluarga telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Ketua-ketua keluarga yang menerima sumbangan pada majlis itu ialah Awang Amiruddin bin Haji Mumin dan Awang Hamdan bin Haji Daud dari STKRJ Kampung Kilugus, Lumapas, dan mangsa-mangsa kebakaran dari Kampung Sungai Kebun iaitu Dayang Siti Jarah binti Haji Ering, Dayang Norsharizahwati binti Mohd Said, Haji Mohd Jaafar bin Haji Awang Ering dan Dayang Rosita binti Mohammad.

Salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Sungai Kebun yang berlaku awal pagi kelmarin, telah menceritakan bagaimana kejadian bermula dari dapur rumah beliau dan merebak ke dua buah rumah jiran yang lainnya.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4:30 pagi yang bermula di bahagian dapur. Kejadian berkenaan diketahui oleh salah seorang ahli keluarga kami dan tanpa berlengah kami menghubungi pihak bomba dan penyelamat melalui nombor kecemasan sebanyak tiga kali,” ujarnya.

Mangsa rumah pertama di Kampung Sungai Kebun, Dayang Rosalinda menerima sumbangan derma daripada Haji Brahim.
Mangsa rumah pertama di Kampung Sungai Kebun, Dayang Rosalinda menerima sumbangan derma daripada Haji Brahim.

Menggambarkan keadaan pada pagi itu, katanya sukar untuk dibayangkan, semua orang saling menyelamatkan diri dan ahli keluarga masing-masing sehingga harta benda di dalam rumah tidak dihiraukan langsung.

Menurutnya, apabila api sedang membesar adik beliau, Dayang Rosita binti Muhammad tidak semena-mena masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan dokumen-dokumen penting yang mengakibatkan kaki dan tangannya terkena api yang semakin membesar sehingga terjatuh dan tidak berupaya untuk berdiri.

Dayang Rosita yang cedera kini masih menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

“Syukur Alhamdulillah, Rosita tidak terkorban dalam kejadian. kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Kampung Lorong Dalam yang sanggup menggadai nyawanya untuk menyelamatkan dan mengeluarkan Rosita yang cedera di dalam rumah,” ujar Dayang Rosalinda.

Seorang lagi mangsa dalam kejadian itu yang ditemui, Haji Jaafar mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Yayasan, pihak individu, JAPEM dan banyak lagi yang telah memberi bantuan makanan asasi, pakaian dan lain-lain.