Mangsa kebakaran terima wang zakat

Mangsa kebakaran terima wang zakat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Dalam usaha meringankan beban mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Sungai Kebun baru-baru ini, Malis Ugama Islam Brunei telah menyerahkan wang zakat berjumlah $2,600 kepada mangsa kebakaran.

Agihan zakat berkenaan telah disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei Haji Abdul Aziz bin Haji Akop pada majlis penyerahan yang berlangsung di Bilik Seroja, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pada majlis itu, wang zakat telah diserahkan kepada enam buah keluarga yang terdiri daripada 13 orang penghuni, melibatkan tiga buah rumah yang ranap dalam kejadian yang berlaku pukul 5:30 pagi pada 13 Julai lalu.

Salah seorang mangsa kebakaran menerima wang zakat mereka yang disampaikan oleh Haji Abdul Aziz.
Salah seorang mangsa kebakaran menerima wang zakat mereka yang disampaikan oleh Haji Abdul Aziz.

Mendahului penerima ialah Awang Mohd Said bin Bungsu diikuti oleh Awang Mohd Zaki bin Mohd Zawawi dan seterusnya Haji Muhd Ja’afar bin Haji Awang Ering serta Dayang Rosita binti Mohammad.

Kesemua wang tunai dan perbelanjaan peralatan persekolahan ini adalah daripada peruntukan kumpulan wang zakat asnaf fakir miskin.