Mangsa kebakaran terus diberi perhatian

Mangsa kebakaran terus diberi perhatian

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Mangsa kebakaran di Kampung Katok dan Kampung Penanjong, Dayang Azizah binti Haji Sulaiman dan Haji Abdullah bin Haji Metamit terus mendapat perhatian dengan pelbagai sumbangan daripada pelbagai agensi mahupun persatuan-persatuan di negara ini.

Sehubungan itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyumbangkan derma khairat yang berlangsung di Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Sumbangan kewangan keseluruhan berjumlah $8,700 diserahkan kepada dua buah keluarga tersebut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Dayang Azizah ketika menerima sumbangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Dayang Azizah ketika menerima sumbangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan sumbangan derma mangsa kebakaran kepada Haji Abdullah.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan sumbangan derma mangsa kebakaran kepada Haji Abdullah.

Sumbangan berkenaan adalah salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan bagi memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat Baginda sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA