Mangsa kes pengintipan palsu terima pampasan

Mangsa kes pengintipan palsu terima pampasan

SEOUL, 22 Dis (AFP) – Mahkamah Korea Selatan telah memberikan pampasan bernilai berjuta-juta dolar kepada mangsa-mangsa kes pengintipan palsu yang berlaku empat dekad yang lalu, menurut jurucakap mahkamah semalam.

Mahkamah Daerah Seoul minggu lalu mengarahkan kerajaan membayar sejumlah 12.55 bilion won (AS$10.7 juta) kepada 72 pengadu yang bakal menerima antara empat juta dan satu bilion setiap seorang berkaitan kes pengintipan Ulleungdo pada 1974.

Pada masa itu, seramai 47 orang telah ditangkap di seluruh negara, kebanyakannya penduduk dari pulau terpencil timur Ulleungdo.

Mereka telah diseksa dan dipaksa untuk membuat pengakuan palsu bahawa mereka telah membentuk satu rangkaian bawah tanah untuk memulakan pemberontakan rakyat menjatuhkan kerajaan atas arahan dari Korea Utara.

Seramai 32 daripada 47 orang didakwa, tiga dihukum mati, empat dipenjara seumur hidup dan selebihnya dihukum penjara antara satu dan 15 tahun.

Peristiwa berkenaan berlaku semasa era presiden autoritarian Park Chung-Hee, bapa kepada presiden semasa Park Geun-Hye, untuk mengukuhkan cengkaman kuku besi di seluruh negara.

Penangkapan oleh CIA Korea yang paling ditakuti membantu mematahkan bantahan pro-demokrasi yang melanda seluruh negara.

Park Chung-Hee memerintah selama 18 tahun sehingga dia dibunuh oleh bekas Ketua KCIA, Kim Jae-Kyu pada tahun 1979.

Perbicaraan semula kes itu telah diputuskan pada 2010, empat tahun selepas Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi menerima rayuan daripada mangsa, dan Mahkamah Agung pada Disember tahun lepas telah membebaskan semua pertuduhan mereka, sekali gus membuka jalan kepada saman mahkamah.

Kerajaan dijangka akan membawa kes itu ke mahkamah rayuan, dengan alasan bahawa di bawah had statut, mangsa tidak boleh membuat tuntutan pampasan memandangkan kes sudah lama berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA