Mangsa maut letupan Tianjin meningkat

Mangsa maut letupan Tianjin meningkat

TIANJIN, 27 Ogos (Agensi) – Jumlah kematian akibat letupan gudang Tianjin dua minggu lalu telah meningkat kepada 139, dan 34 lainnya masih hilang, menurut pihak berkuasa penyelamat.

Angka yang diumumkan pada hari Selasa adalah 135 kematian dengan 38 mangsa hilang. Pengemaskinian itu bermakna empat daripada 38 orang yang hilang itu sudah disahkan mati.

Kesemua yang mati sudah dikenal pasti, termasuk 84 anggota bomba, lapan anggota polis dan 47 orang lagi. Mereka yang hilang termasuk 20 anggota bomba, tiga anggota polis dan 11 yang lain.

Sementara itu, 527 orang kekal ditahan di hospital, 34 daripada mereka masih dalam keadaan serius. Sejumlah 272 orang yang cedera sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Dua letupan memusnahkan sebuah gudang di Pelabuhan Tianjin di mana sejumlah besar kimia toksik disimpan, termasuk kira-kira 700 tan sodium sianida, pada kira-kira 11.30 malam waktu setempat pada 12 Ogos.

Pemantauan alam sekitar menunjukkan tiada kadar lebihan pencemaran di udara luar zon pengecualian yang ditetapkan sekitar tapak letupan pada hari Selasa.

Bagaimanapun, kadar lebihan sianida telah didapati daripada sampel-sampel air dari enam kawasan pemantauan di dalam zon pengecualian, dengan kadar seteruk kira-kira 32 kali daripada kadar yang secara rasminya dianggap selamat.

Sementara itu, sianida telah dijumpai dari dua lokasi pemantauan air masin, namun kadarnya masih selamat.

ARTIKEL YANG SAMA