Mangsa MERS cecah 20

Mangsa MERS cecah 20

SEOUL, 17 Jun (AFP) – Korea Selatan mengumumkan kematian ke-20 akibat virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) hari ini tatkala kritikan meningkat mengenai keupayaan pihak berkuasa untuk membendung wabak tersebut, dengan laporan membimbangkan mengenai kes baru melepasi kuarantin yang telah pun menjejaskan beribu-ribu orang.

Seorang wanita berusia 54 tahun meninggal dunia akibat MERS pada pagi ini, kira-kira dua minggu selepas didiagnosis pada 5 Jun, kata kementerian kesihatan.

Ia juga melaporkan lapan pesakit baru termasuk empat yang telah dijangkiti di Pusat Perubatan Samsung di Seoul, dianggap pusat wabak sehari selepas kementerian berkata ia berasa optimistik bahawa keadaan paling teruk sudah berakhir memandangkan jumlah kes baru semakin berkurangan.

Hampir kesemua jangkitan setakat ini adalah terbatas di dalam hospital.

Namun terdapat pesakit baru didiagnosis dalam beberapa hari ini bukan di antara mereka yang ditempatkan di bawah kuarantin.

Seorang kanak-kanak perempuan menggunakan penutup mulut bagi mengelak terkena virus MERS yang telah meragut 20 nyawa setakat ini. – Reuters
Seorang kanak-kanak perempuan menggunakan penutup mulut bagi mengelak terkena virus MERS yang telah meragut 20 nyawa setakat ini. – Reuters

Seorang pesakit dilaporkan semalam di bandar tenggara Daegu telah mengalami gejala penyakit pada Sabtu tetapi meneruskan aktiviti harian, termasuk pergi bekerja dan mengunjungi tempat mandi awam.

Kakitangan awam berusia 52 tahun itu, kini diasingkan, menziarahi ibunya pada lewat Mei ketika beliau merupakan seorang pesakit di hospital Samsung, dan adik perempuannya didiagnosis MERS pada 10 Jun, kata majlis bandar Daegu hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA