Mangsa nahas bas pelancong meningkat 14 orang

Mangsa nahas bas pelancong meningkat 14 orang

BANGKOK, 21 Dis (dpa) – Jumlah mangsa maut dalam nahas bas pelancong di Thailand meningkat kepada 14 orang selepas seorang lagi meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal dunia adalah 13 pelancong Malaysia dan seorang pemandu pelancong Thailand, kata Leftenan Watanapong Pimsin dari balai polis Doi Saket.

Sepuluh orang lagi mengalami kecederaan dalam nahas yang berlaku semalam apabila bas pelancong melanggar sebuah kereta lalu terjunam ke gaung ketika perjalanan di antara Chiang Mai dan Chiang Rai di utara Thailand.

Polis percaya kemalangan itu berlaku selepas pemandu bas melanggar sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan ketika cuba mengelak kesan lebih teruk ekoran perlanggaran itu.

Gambar yang dirakam pada 20 Disember 2015 menunjukkan anggota penyelamat memberikan rawatan awal kepada salah seorang pelancong lelaki yang mengalami kecederaan apabila bas persiaran terbabit nahas jalan raya di daerah Doi Sakei di utara bandar Chiang Mai. – AFP

“Pemandu bas itu kini ditahan di sebuah hospital tempatan. Dia hanya mengalami patah bahu,” kata Watanapong.

Kementerian Luar Malaysia semalam mengesahkan bahawa 13 warganya terbunuh dalam nahas berkenaan.

Kedutaan Malaysia di Bangkok bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thai untuk menyediakan khidmat kepada mangsa yang cedera dan untuk menghubungi saudara mara mangsa warga Malaysia, menurut kenyataan kementerian itu.

Thailand mempunyai sebahagian jalan paling berbahaya di dunia. Kajian pada 2013 oleh Universiti Michigan mendapati bahawa negara itu hanya di belakang Namibia dari segi jumlah maut akibat nahas jalan raya.

ARTIKEL YANG SAMA