Mangsa nahas ditemui terapung

Mangsa nahas ditemui terapung

SAMOSIR, Indonesia, 13 Okt – Seorang lelaki Indonesia yang hilang ditemui hidup, terapung-apung di tasik gunung berapi hari ini setelah dua hari helikopter yang dinaiki terhempas.

Lelaki yang ditemui dalam keadaan bogel itu dinamakan dalam laporan tempatan sebagai Fransiskus Subihardayan, telah dikejarkan ke hospital selepas ditemui sedar namun lemah, dan hanya memakai seutas jam tangan hitam, di Tasik Toba, tempat pesawat udara itu dipercayai menjunam, di pulau barat Sumatera.

Mangsa yang berusia dalam pertengahan 20-an, merupakan salah seorang daripada lima penumpang yang menaiki Eurocopter EC-130 apabila ia hilang pada Ahad semasa penerbangan singkat dari pulau Samosir, sebuah tempat pelancongan popular di tasik itu, ke bandar Medan.

“Lelaki itu ditemui oleh tentera laut sekitar jam 1 petang (0600 GMT),” kata Hisar Turnip, jurucakap agensi menyelamat dan mencari, memberitahu AFP.

“Dia tidak berenang, cuma terapung. Dia ditemui tanpa pakaian.”

Gambar yang disiarkan oleh Tentera Laut Indonesia pada 13 Oktober, mangsa nahas helikopter, Fransiskus Subihardayan (tengah) ketika ditemui oleh pasukan penyelamat Indonesia dari Tasik Toba. – AFP
Gambar yang disiarkan oleh Tentera Laut Indonesia pada 13 Oktober, mangsa nahas helikopter, Fransiskus Subihardayan (tengah) ketika ditemui oleh pasukan penyelamat Indonesia dari Tasik Toba. – AFP

Dia memberitahu para penyelamat dia adalah seorang penumpang helikopter dan memberi sedikit butiran, kemudian jatuh pengsan dan dikejarkan ke hospital tempatan, menurut pegawai.

Keadaannya pada masa ini tidak jelas.

Pegawai agensi menyelamat dan mencari, Heronimus Guru mengatakan Subihardayan memberitahu para penyelamat bahawa kesemua penumpang di dalamnya – dirinya, dua penumpang lain, seorang juruterbang dan seorang jurutera – berjaya terjun daripada helikopter ketika ia hampir menjunam.

“Menurutnya lima berjaya melompat keluar, dan mereka berupaya kekal mengapung dengan berpegang pada keladi bunting sehingga jam 11 malam namun kemudian mereka terpisah,” ujarnya.

Pasukan menyelamat tiba selepas sebuah kusyen kerusi helikopter ditemui di tasik itu lewat kelmarin. Pasukan mencari masih lagi mencari bangkai pesawat hilang bersama penumpang dan kru. – AFP