Mangsa pemerdagangan manusia diseksa kejam

Mangsa pemerdagangan manusia diseksa kejam

SONGKHLA, 4 Mei (Bernama) – Masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa kes pemerdagangan manusia yang dibawa ke kem di Bukit Khao Rup Chang di Sadao, Songkhla didakwa telah diseksa dan dibunuh oleh orang yang menahan mereka di situ.

Bapa saudara kepada seorang mangsa mendakwa anak saudaranya yang dikenali sebagai “Hasim” mati dipukul oleh orang yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia itu.

Bercakap kepada wartawan, lelaki itu yang dikenali sebagai “Kuramia” berkata beliau telah membayar wang tebusan bagi anak saudaranya berjumlah 95,000 bath (RM9,500) tetapi anak saudaranya itu tidak dibebaskan.

Sebalik anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Anuar, telah memintanya membayar sebanyak 120,000 bath, katanya. Disebabkan keluarganya tidak mempunyai wang sebanyak itu, Kuramia berkata beliau telah membuat laporan polis di Nakornsri Thammarat.

Beliau mendakwa bahawa apabila perkara itu diketahui Anuar maka Hasim telah dibunuh.

Sebanyak 32 mayat kaum Rohingya yang dijumpai di Bukit Buka Khao Rup Chang dikebumikan di Kg Pru, Hatyai semalam. Mereka merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang ditempatkan di kem Khao Rup Chang sambil menunggu wang tebusan daripada keluarga atau dijadikan buruh. Ahli keluarga dan mangsa mendakwa jika wang tebusan tidak dibayar mereka akan dipukul atau dibunuh.
Sebanyak 32 mayat kaum Rohingya yang dijumpai di Bukit Buka Khao Rup Chang dikebumikan di Kg Pru, Hatyai semalam. Mereka merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang ditempatkan di kem Khao Rup Chang sambil menunggu wang tebusan daripada keluarga atau dijadikan buruh. Ahli keluarga dan mangsa mendakwa jika wang tebusan tidak dibayar mereka akan dipukul atau dibunuh.

Bagaimanapun Anuar telah ditangkap polis dan ia telah membawa kepada penemuan kem tersebut yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari sempadan Thailand dengan Malaysia serta terdapat kira-kira 30 lubang kubur kaum Rohingya yang dipercayai telah dibunuh.

Kuramia merupakan individu pertama membuka mulut kepada wartawan di Nakhornsri Thammarat melalui penterjemah sejak penemuan penuh tragis itu.

Seorang lagi saksi yang enggan namanya didedahkan oleh pihak media, berkata beliau merupakan antara orang yang terselamat selepas ibunya membayar wang tebusan sebanyak RM6,000 kepada kumpulan pemerdagangan manusia yang dianggotai Anuar yang juga merupakan orang Rohingya.

Beliau berkata mangsa-mangsa perdagangan manusia di kem milik warga Thailand tersebut telah dilayan secara kejam dan dipukul dengan kayu serta ada yang ditembak mati.

Katanya mereka bertolak dari Yakhai, Miyanmar enam bulan lepas dan dijanjikan akan dibawa masuk bekerja di Malaysia tetapi mereka ditahan dalam kem di Sadao. Beliau mendakwa lebih 500 orang Rohingya maut dalam kem-kem tahanan di perbatasan Malaysia-Thailand.

Di kem itu, yang ditemukan kubur besar menempatkan 32 mayat, didakwa menempatkan 700-800 orang Rohingya tetapi mereka telah melarikan diri ke dalam hutan apabila polis Thailand menyerbunya.

“Ketika saya berada dalam kem tersebut terdapat 17-20 orang mati dipukul dan ditembak kerana mangsa tidak dapat membayar wang tebusan,” kata saksi itu.

Mejar Jeneral Polis Phuttichat Akkachan, Timbalan Ketua Polis Bahagian ke-9 berkata punca kematian akan diketahui setelah pemeriksaan doktor dan polis forensik selesai.

Pihak polis juga menyoal siasat dua orang disyaki anggota sindiket yang telah ditahanm katanya.

“Kami akan mengetahui adakah mayat Hasim yang dikatakan oleh ahli keluarga dan saksi telah dibunuh dan ditanam atas bukit itu dan merupakan antara 32 mayat yang dijumpai,” katanya.

DNA turut diambil daripada semua mayat yang digali dan dikeluarkan untuk bedah siasat di Hospital Universiti Songkhla Nakharin Hatyai, sebelum semuanya dikebumikan semula di tanah perkuburan Kg Pru, daerah Hatyai.

Menurut pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan, dianggarkan beribu-ribu orang Rohingya berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand yang menunggu wang tebusan daripada keluarga atau untuk dijadikan buruh.