Mangsa penjara Khmer Rouge kecam pemain Pokemon Go

Mangsa penjara Khmer Rouge kecam pemain Pokemon Go

PHNOM PENH, 10 Ogos – Mangsa-mangsa terselamat Khmer Rouge mengecam para pemain Pokemon Go hari ini selepas mereka berduyun-duyun ke salah sebuah penjara terkenal rejim itu – yang sekarang dijadikan sebuah muzium genosid kejam Kemboja – untuk menangkap hantu-hantu digital.

Aplikasi telefon bimbit itu dapat diakses di Kemboja pada Sabtu di samping hos negara-negara Asia Tenggara lain, dengan para peminat mengerumuni tempat-tempat mercu tanda terkenal beberapa hari kebelakangan.

Namun permainan itu – yang menggalakkannya penggunanya untuk keluar mencari makhluk alam maya itu – telah mencetuskan kemarahan selepas para pemain muncul di penjara Tuol Sleng, tempat sekitar 15,000 orang dihukum mati semasa pemerintahan Khmer Rouge 1975-79.

“Ia adalah satu penghinaan kepada roh-roh mangsa yang mati di sana,” kata Bou Meng, 76, salah seorang mangsa terselamat dari Tuol Sleng, memberitahu AFP.

“Ia adalah satu tempat penderitaan. Adalah tidak sesuai untuk bermain permainan itu di sana,” katanya, menggesa muzium itu untuk tidak dimasukkan dalam peta permainan.

Dua lelaki Kemboja bermain Pokemon Go di luar muzium genosid Tuol Sleng di Phnom Penh pada 10 Ogos. – AFP
Dua lelaki Kemboja bermain Pokemon Go di luar muzium genosid Tuol Sleng di Phnom Penh pada 10 Ogos. – AFP

Youk Chhang, pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja, yang menyelidik kekejaman Khmer Rouge, mengulangi gesaan Bou Meng.

Muzium itu ‘bukan gedung beli-belah mahupun taman permainan untuk menangkap Pokemon. Ia adalah tapak kubur,” katanya.

Chhay Visoth, pengarah Muzium Genosid Tuol Sleng, mengesahkan beberapa pengunjung telah bermain Pokemon Go di dalam penjara berkenaan.

Tambahnya lagi, muzium itu telah mempertingkatkan langkah untuk menghentikan orang ramai daripada bermain permainan itu di sana kerana tapak itu adalah cerminan ‘tempat sedih’.

Pengawal keselamatan di sana berkata mereka telah menghalau para pemain yang berada di dalam muzium.

Namun pada petang hari ini para pemain masih lagi mencari Pokemon di luar penjara tersebut.

“Saya menemui empat hantu Pokemon, namun saya tidak perlu pergi ke dalam Tuol Sleng,” kata seorang pemain yang meminta untuk tidak dinamakan, memberitahu AFP semasa bermain berhampiran dinding muzium berkenaan.– AFP

ARTIKEL YANG SAMA