Mangsa penyeberangan Rohingya hampir cecah 100

COX’S BAZAR, Bangladesh, 13 Sept – Tujuh mayat dipercayai penduduk Islam Rohingya terdampar di Bangladesh hari ini, kata pegawai, memaparkan risiko yang dihadapi oleh kebanyakan kumpulan tertindas yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Sekurang-kurangnya 99 Rohingya telah terbunuh ketika menyeberangi sempadan dalam bot usang sejak krisis meletus pada 25 Ogos di negeri Rakhine.

“Kami menemui tujuh mayat hari hari yang terdampar di pantai kami, termasuk tiga kanak-kanak,” beritahu komander Pengawal Sempadan Bangladesh Leftenan Kolonel S.M. Ariful Islam kepada AFP.

Beliau berkata beberapa orang adalah daripada bot Rohingya yang tenggelam pada malam semalam berhampiran kampung sempadan Shah Porir Dwip di muara sungai Naf yang membahagi Myanmar dan Bangladesh.

Yang lainnya, yang berada dalam keadaan “amat reput”, dipercayai datang daripada bot lain yang telah tenggelam sebelumnya, kata beliau.

Pelarian Rohingya menggunakan bot untuk menyeberangi sempadan Myanmar-Bangladesh. – AFP

Bot tiba setiap hari selepas menyeberangi Teluk Bengal atau sungai Naf.

Humayun Rashid, penolong ketua polis daerah Cox’s Bazar, yang bersempadan Myanmar, berkata kebanyakan daripada 99 orang yang terkorban adalah budak-budak di bawah umur.

“Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak. Ada di antara mayat mempunyai luka tembakan,” kata beliau.

Polis dan pengawal sempadan berlata sehingga enam bot penuh sesak telah tenggelam dalam tempoh dua minggu lalu. Kebanyakannya adalah bot kecil atau kapal perikanan usang yang bukan dikhaskan untuk membawa penumpang. – AFP