Mangsa pertama maut kebakaran di Taiwan

Mangsa pertama maut kebakaran di Taiwan

TAIPEI, 29 Jun (dpa) – Seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia hari ini akibat kecederaan yang dialaminya dalam letupan dan kebakaran pada satu pesta di taman hiburan Taiwan, menurut laporan.

Serbuk yang mudah terbakar meletup dan pentas konsert terbakar di Taman Air Formosa di New Taipei Sabtu lalu yang mana kira-kira 1,000 orang menyertai pesta tarian. Serbuk berwarna itu disemburkan ke arah orang ramai.

Li Pei-yun, 20 tahun meninggal dunia pagi hari ini di sebuah hospital di bahagian tengah Taiwan, menurut agensi itu. Li telah dihantar ke hospital dengan kecederaan melecur 90 peratus pada badannya, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan. Menurut Apple Daily, Li telah pergi pesta itu bersama adik lelakinya berusia 12 tahun, yang juga mengalami kecederaan melecur teruk, dan masih diletakkan di bawah penjagaan rapi di Taipei. “Bagi pesakit-pesakit yang mengalami melecur teruk, cabaran sebenar ialah berdepan dengan jangkitan pada hari-hari berikut,” kata Datuk Bandar bagi Bandar Taipei, Ko Wen-je.

Kementerian Kesihatan dan Kebajikan berkata pada 9 pagi hari ini, bilangan mereka yang tercedera dalam kemalangan itu adalah 499 orang, manakala kira-kira 211 diletakkan di bawah penjagaan rapi. Mereka yang tercedera dirawat di 49 buah hospital sekitar Taiwan.

Kementerian Kesihatan dan Kebajikan telah mula menyelaraskan sumber pemindahan kulit dan bekalan perubatan kecemasan lain, sambil menambah kata sumber perubatan lebih dari cukup bagi rawatan susulan, menurut kabinet dalam satu kenyataan.

Empat pusat perubatan telah diminta menyediakan kulit penderma bagi kegunaan kecemasan. Kerajaan bandar Kaohsiung di selatan Taiwan berkata semalam ia bersedia menghantar kulit kadaver ke hospital di utara Taiwan yang merawat mereka ang tercedera dalam kemalangan itu, lapor Agensi Pusat Berita.

ARTIKEL YANG SAMA