Mangsa rumah roboh terima bantuan

Mangsa rumah roboh terima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Sebuah keluarga seramai lapan orang yang ditimpa musibah rumah roboh, hari ini menerima bantuan berupa wang tunai sumbangan derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, di mana hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah $5,000 keseluruhannya ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail dan diterima oleh Dayang Siah binti Bujang selaku wakil keluarga berkenaan.

Rumah mereka di Kampung Setia B telah roboh pada 24 dan 25 Ogos 2016 yang berlaku kira-kira pukul 12:30 tengah hari dan 12 tengah malam.

Semasa kejadian pertama, iaitu pada 24 Ogos, dapur rumah berkenaan roboh dan ahli keluarga diarahkan untuk tidak mendiami rumah berkenaan dan pada 25 Ogos sekitar pukul 12 tengah malam, ia roboh keseluruhannya.

Pengarah Urusan Yayasan menyampaikan sumbangan kepada Dayang Siah selaku wakil.
Pengarah Urusan Yayasan menyampaikan sumbangan kepada Dayang Siah selaku wakil.
Awang Sahri bersama isterinya, Dayang Siah berkata bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.
Awang Sahri bersama isterinya, Dayang Siah berkata bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

Pada masa ini, Dayang Siah bersama-sama suami dan anak-anak berpindah ke rumah jiran buat sementara waktu di Kampung Setia B.

Bantuan serta merta ini adalah sebagai usaha dalam membantu mereka yang ditimpa musibah bagi meringankan bebanan mereka.

Suami Dayang Siah, Awang Sahri bin Salleh, 71, ketika ditemui Media Permata hari ini, mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui pihak Yayasan.

“Bantuan Baginda Sultan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan lagi beban seharian kami sekeluarga dan Insya-Allah dengan adanya bantuan ini juga sedikit sebanyak akan dapat mengganti barangan yang telah rosak semasa kejadian tersebut,” ujar Awang Sahri.

ARTIKEL YANG SAMA